Untung bersih susut lebih 70%, Maybank IB semak turun unjuran pendapatan sesaham Petronas Chemicals sehingga 30% | DagangNews Skip to main content

Untung bersih susut lebih 70%, Maybank IB semak turun unjuran pendapatan sesaham Petronas Chemicals sehingga 30%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Nov - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran pendapatan sesaham (EPS) Petronas Chemicals Group Berhad antara 22% hingga 30% bagi FY23,FY24 dan FY25 selepas untung bersih kumpulan itu menjunam sebanyak 77.6% kepada RM424 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23).

 

Semakan semula EPS juga dibuat berdasarkan kadar penggunaan kilang yang rendah, penyebaran produk yang lemah dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) lebih rendah bagi segmen olefin dan derivatif (O&D) dan baja dan metanol (F&M).

 

Firma penyelidikan itu berkata, kejatuhan keuntungan segmen O&D sebanyak 50% adalah kerana tukaran mata wang asing yang lebih rendah di pasaran pada akhir 3QFY23.

 

"Tukaran mata wang asing yang lebih rendah itu memberi kesan kepada pinjaman pemegang saham kumpulan daripada kerjasama Saudi Aramco untuk membiayai pembinaan Kompleks Petrokimia Pengerang.

 

"Selain itu, penutupan tidak dijangka dalam PC Olefins mengakibatkan jumlah pengeluaran/jualan yang lebih rendah pada suku ketiga" katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, EBITDA kumpulan itu  lebih rendah sebanyak RM960 juta atau 49% pada RM1 bilion, terutamanya disebabkan spread produk yang lebih rendah dan kos tenaga dan utiliti yang lebih tinggi.

 

Pada asas suku ke suku, keuntungan bersih Petronas Chemicals turun 32.48% daripada RM628 juta pada 2QFY23, disebabkan oleh keuntungan pertukaran asing tidak direalisasi yang lebih rendah dan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi, manakala hasil berkurangan 4.62% daripada RM7.11 bilion sebelumnya.

 

Hasil suku tahunan susut 3.53% kepada RM6.78 bilion daripada RM7.03 bilion, dalam keadaan harga produk dan jumlah jualan yang lebih rendah, tetapi ini telah diimbangi sebahagiannya oleh sumbangan hasil daripada Perstorp.

 

Firma penyelidikan itu berkata, purata harga jualan (ASP) dijangka berterusan disebabkan penurunan harga komoditi bermusim menjelang hujung tahun selain harga urea yang lebih lemah kesan sekatan eksport China dan aktiviti pasaran yang tidak menentu.

 

"Kami menjangkakan akan berdepan suku tahun yang lebih lemah berdasarkan permintaan produk yang lebih perlahan sehingga hujung tahun," katanya.

 

Maybank IB menyemak turun penarafan kumpulan itu kepada 'jual' berbanding 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM5.75 sesaham. - DagangNews.com