Untung bersih TAFI Industries turun lebih 90% kepada RM182,000 bagi 1QFY22 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih TAFI Industries turun lebih 90% kepada RM182,000 bagi 1QFY22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mei - TAFI Industries Berhad mencatatkan penurunan untung bersih melebihi 90% bagi kepada RM182,000 bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 berbanding RM1.06 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Penurunan itu disebabkan tiada keuntungan diiktiraf atas pelupusan Harta, Loji dan Peralatan dan Hak Penggunaan berbanding keuntungan berkenaan berjumlah RM1.15 juta diiktiraf pada suku yang sama sebelumnya berakhir 31 Mac 2021.

 

Pendapatan kumpulan melonjak sebanyak 29.4% kepada RM12.09 juta berbanding suku sama tahun lalu disumbangkan daripada kontrak pembinaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TAFI, Datuk Seri Bryan Wong berkata, pihaknya sedang berusaha untuk melancarkan model perabot baharu untuk meluaskan pasaran ke pasaran Amerika Utara selain meneruskan usaha mengembangkan pegangan pasaran di Eropah dan Asia Barat.

 

Beliau berkata, kumpulan itu juga akan berusaha meningkatkan pendapatan dan keuntungan untuk perniagaan perabotnya dengan berusaha mendapatkan kontrak kerajaan tempatan dan bukan kerajaan selain kerjasama strategik bersama Signature Group dan OMG Free Reno Sdn. Bhd.

 

Beliau berkata, sejak pihaknya melibatkan diri dalam perniagaan pembangunan hartanah, kumpulannya banyak memberi tumpuan kepada projek sulung di Pahang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM390 juta dan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada 31 Disember 2022.

 

Selain projek itu, Kumpulan TAFI mengembangkan segmen pembangunan hartanah dengan menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak bagi projek yang tertumpu di dalam kawasan Kuantan dengan GDV RM621.5 juta.

 

"Kumpulan TAFI ketika ini memiliki enam jalinan kerjasama bagi projek pembangunan hartanah dengan GDV RM1.01 bilion dan kami akan terus mengembangkan perniagaan pembangunan hartanah kumpulan dengan menjalinkan lebih banyak kerjasama," katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu juga telah menerima kontrak bernilai RM9.5 juta untuk pembangunan satu unit kilang dan gudang bersama bangunan pejabat setinggi dua tingkat di Kuala Langat, Selangor.

 

Byan berkata, kontrak itu adalah selama 12 bulan bermula 7 April 2022 hingga 6 April 2023.

 

"Kumpulan TAFI akan terus bekerja untuk membangunkan aliran tunai daripada kontrak pembinaan dengan mendapatkan lebih banyak projek daripada sektor kerajaan dan swasta," katanya. - DagangNews.com