Untung bersih teras FY25 UMediC diramal meningkat 25% disokong pengembangan kapasiti segmen pembuatan | DagangNews Skip to main content

Untung bersih teras FY25 UMediC diramal meningkat 25% disokong pengembangan kapasiti segmen pembuatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research meramalkan untung bersih teras UMediC Group Bhd meningkat 25% pada FY25 disokong peningkatan kapasiti pengeluaran pelembap praisi siri HydroX sebanyak 420,000 botol sebulan sejak April 2024.

 

Katanya, jumlah itu dijangka terus berkembang kepada 600,000 botol sebulan menjelang Disember 2024 dan meningkat kepada 1.1 juta botol sebulan pada suku pertama 2025.

 

"Bagi segmen pemasaran dan pengedaran, kami menjangkakan penambahan pesanan yang lebih baik akan berlaku pada 1QFY25.

 

"Secara berasingan, tumpuannya ke arah perkhidmatan penjagaan kesihatan, melalui Pusat Jagaan UMC memberi bayangan kepelbagaian perniagaannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, bagi suku keempat berakhir 31 Julai 2024 (4QFY24), untung bersih UMediC susut kepada RM3.04 juta berbanding RM3.37 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM14.88 juta daripada RM12.02 juta setahun sebelumnya.

 

Peningkatan dalam hasil disumbangkan oleh kedua-dua segmen pemasaran dan pengedaran dan pembuatan.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2024 (FY24), untung bersih kumpulan itu susut kepada RM8.99 juta daripada RM10.32 juta manakala hasil meningkat kepada RM54.57 juta daripada RM45.43 juta setahun sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu yakin, prospek kumpulan itu kekal utuh didorong pengembangan kapasiti dalam segmen pembuatan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.04 sesaham," katanya. - DagangNews.com