Untung bersih teras Hibiscus Petroleum diramal meningkat kepada RM141 juta pada 4QFY24 - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Untung bersih teras Hibiscus Petroleum diramal meningkat kepada RM141 juta pada 4QFY24 - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan Hibiscus Petroleum Bhd mencatatkan jumlah untung bersih teras sebanyak RM140.8 juta pada 4QFY24 didorong peningkatan harga minyak mentah dan kadar pengeluaran lebih tinggi.

 

Katanya, kumpulan itu memberi petuntuk bahawa jumlah pengeluarannya akan meningkat sebanyak 13% dari suku tahun ke suku tahun kepada 2.07 juta tong minyak (boe) pada 4QFY24 berbanding 1.83 juta boe pada suku sebelumnya. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada asas setahun penuh, jumlah ambilan dijangka meningkat sebanyak 17% pada FY24E (daripada 1.76 juta boe pada FY23).

 

"Dengan harga minyak mentah yang lebih tinggi sepanjang April hingga Jun 2024 (AS$87/bbl), kami menjangkakan untung bersih teras sebanyak RM140.8 juta pada 4QFY24.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan margin keuntungan pada suku berikutnya akan sedikit mengecil berikutan rancangan penyelenggaraan yang dijadualkan kumpulan pada suku akan datang," katamya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih yang lebih tinggi sebanyak RM101.81 juta pada 3QFY24 berbanding RM71.51 juta setahun sebelum ini dengan pendapatan meningkat kepada RM603.51 juta daripada RM523.34 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu menyasarkan untuk mencapai minyak pertama daripada SF20 Water Flood Fasa 2 pada 2QFY23(1,200 tong minyak sehari (boepd)) dan Teal West pada 2QFY26 (4,500 boepd).

 

Katanya, peningkatan pengeluaran/jumlah jualan tahun itu hanya akan bermula untuk FY26.

 

"Jangkaan penurunan harga minyak sebanyak 9% pada 2025 (AS$75/bbl), kami meramalkan penurunan pendapatan sebanyak 6% untuk Hibiscus pada FY25," katanya.

 

Maybank IB menyemak turun penarafan kumpulan itu kepada 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM2.83 sesaham.- DagangNews.com