Untung bersih Top Glove melonjak RM2.4 bilion | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Top Glove melonjak RM2.4 bilion

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Top Glove Corporation Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM2.4 bilion pada suku pertama berakhir 30 November 2020, dengan peningkatan sehingga 20 kali ganda berbanding RM111.43 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Malah, pendapatan syarikat bagi suku itu juga meningkat 294% kepada RM4.8 bilion berbanding RM1.21 bilion bagi tempoh sama 2020 manakala bagi suku ke suku pula meningkat 53%. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, jumlah jualan juga meningkat sehingga 34% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Prestasi ini didorong oleh permintaan kukuh bagi sarung tangan getah dalam pasaran membangun dan baharu muncul di sebalik pandemik COVID-19 yang masih berterusan. 

 

Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow berkata, kumpulan telah memainkan peranan penting dalam membantu melindungi dan menyelamatkan nyawa bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia walaupun pekerjanya turut dijangkiti wabak itu. 

 

Beliau memberitahu, segala usaha akan diperluaskan lagi supaya operasi dapat dijalankan dalam persekitaran yang selamat dan sihat untuk para pekerjanya. 

 

"Kami telah merekodkan prestasi yang baik suku ini dan ia adalah hasil usaha tenaga kerja kami yang berdedikasi seramai 21,000 orang. 

 

"Mereka bekerja keras dan pantas bagi memastikan permintaan sarung tangan getah dapat dipenuhi meskipun berdepan cabaran dari segi operasi," katanya. 

 

Dengan prestasi yang lebih baik itu, Top Glove turut mengumumkan pemberian dividen interim pertamanya sebanyak 16.5 sen sesaham. 

 

Mengenai prospek syarikat, Top Glove menganggarkan permintaan sarung getah akan terus meningkat, iaitu 20% pada 2020 diikuti 25% (2021) dan 15% selepas pandemik. 

 

Permintaan kukuh ini didorong daripada jualan di 195 buah negara di seluruh dunia dan juga pelan pembangunan kapasiti dan kualiti berteraskan teknologi, penambahbaikan kecekapan dan produktiviti yang akan terus menyokong pertumbuhan syarikat pada masa akan datang. - DagangNews.com