Untung bersih TRC Synergy susut kepada RM5.36 juta pada 2QFY24 kesan hasil lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih TRC Synergy susut kepada RM5.36 juta pada 2QFY24 kesan hasil lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Untung bersih TRC Synergy Bhd pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) menyusut kepada RM5.36 juta berbanding RM9.88 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya disebabkan hasil yang lebih rendah.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, perolehannya bagi suku berkenaan juga susut kepada RM106.5 juta berbanding RM264 juta pada 2QFY23. 

 

Untung bersih kumpulan bagi tempoh enam bulan 2024 (1HFY24) juga menyusut lebih dua kali ganda kepada RM5.51 juta berbanding RM12.39 juta manakala hasilnya juga susut kepada RM199.2 juta berbanding RM407.49 juta pada 1HFY23.

 

"Hasil yang lebih rendah bagi suku semasa adalah berpunca daripada kos pembinaan dimuktamadkan bagi projek tertentu setelah siap," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, dengan latar belakang ekonomi yang kukuh terutama dalam sektor pembinaan, bahagian pembinaan kumpulan komited untuk melaksanakan buku pesanan berjumlah RM1 bilion tepat pada masanya.

 

Katanya, ia melibatkan kontrak pengukuhan kemudahan di Empangan Batu selain pengubahsuaian bangunan utama dan infrastruktur bagi Komplek Kejuruteraan Subang di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah serta penyelenggaraan berjadual di Pangakalan Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu.

 

"Bagi FY24, kumpulan itu mengekalkan pandangan positif terhadap prospek mereka disokong buku pesanan sedia ada yang diperkukuhkan lagi oleh pengurusan kewangan yang berdaya tahan serta kunci kira-kira yang teguh," katanya.- DagangNews.com