Untung bersih Unisem susut 20.64% kepada RM40.27 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Unisem susut 20.64% kepada RM40.27 juta

 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. -  Keuntungan bersih Unisem (M) Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2021 turun 20.64% kepada RM40.27 juta daripada RM50.74 juta setahun lalu, terutamanya disebabkan oleh hasil yang lebih rendah daripada operasi kumpulan itu di Ipoh yang terjejas dengan penutupan loji dan had bilangan pekerja yang dikenakan pada suku yang dikaji.

 

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysa, Kumpulan itu berkata, ia seterusnya mengakibatkan pendapatan sesaham turun kepada 4.99 sen berbanding 6.98 sen sebelumnya.

 

Hasil suku tahunan meningkat 2.42% kepada RM366.36 juta berbanding RM357.68 juta tahun lepas. 

 

"Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2021, keuntungan bersih Unisem melonjak 71.41% kepada RM140.32 juta daripada RM81.87 juta berikutan hasil lebih tinggi yang dicapai, pendapatan faedah yang lebih tinggi dan perbelanjaan faedah yang lebih rendah.

 

"Hasil 9 bulan pertama 2021 meningkat 23.79% kepada RM1.14 bilion daripada RM922.92 juta berikutan jumlah jualan yang lebih tinggi," katanya di sini hari ini.

 

Tambahnya, di sebalik cabaran beroperasi di tengah-tengah pandemik COVID-19, termasuk pengehadan tenaga kerja, gangguan logistik dan rantaian bekalan, Unisem berkata unjuran industri semikonduktor kekal positif kerana permintaan cip merentas semua segmen akhir kekal teguh. 

 

"Para pengarah kumpulan menjangkakan prestasi Unisem adalah memuaskan untuk baki tempoh sehingga akhir tahun kewangan," katanya. -DagangNews.com