Untung bersih UOA Development susut 47% kepada RM50.9 juta ekoran hasil lemah, perbelanjaan cukai tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih UOA Development susut 47% kepada RM50.9 juta ekoran hasil lemah, perbelanjaan cukai tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Nov - Hasil yang lemah dan perbelanjaan cukai yang tinggi menyaksikan untung bersih UOA Development Berhad menyusut sebanyak 47% bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23).

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, untung bersih mereka menyusut kepada RM50.9 juta bagi suku berkenaan berbanding RM96.2 juta setahun lalu.

 

"Hasil kumpulan merosot sebanyak 34.5% kepada RM107.1 juta bagi suku berkenaan berbanding RM163.4 juta pada 3QFY22 manakala perbelanjaan cukai meningkat lebih dua kali ganda kepada RM31.2 juta berbanding RM15 juta," katanya.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9MFY23), keuntungan bersih menyusut sebanyak 3.6% kepada RM160.8 juta berbanding RM166.9 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya, manakala hasil turun 14% kepada RM290.4 juta daripada RM339.1juta.

 

Pemaju hartanah itu berkata, jumlah jualan hartanah baharu untuk 9MFY23 adalah sekitar RM461.9 juta, manakala jualan belum dibil berjumlah RM322.8 juta.

 

UOA Development bagaimanapun tidak memberi penjelasan lanjut mengenai penyusutan keuntungan pada 3QFY23 tetapi berjanji akan terus meneroka tanah pembangunan secara strategik yang memenuhi objektifnya.

 

Saham UOA Development didagangkan satu sen atau 0.6% lebih rendah pada RM1.76 pada rehat tengah hari di Bursa Malaysia pada Isnin, memberikannya permodalan pasaran RM4.38 bilion. - DagangNews.com