Untung Maxis turun 10% bagi 1H22, AmInvestment kekal saranan 'pegang' | DagangNews Skip to main content

Untung Maxis turun 10% bagi 1H22, AmInvestment kekal saranan 'pegang'

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham Maxis Berhad dengan harga wajar (FV) RM3.90.

 

Firma itu berkata, keuntungan bersih Maxis bagi 1HFY22 sebanyak RM627 juta berada dalam jangkaan, membentuk 55% daripada anggaran mereka dengan 1H menyumbang 50% hingga 56% daripada keputusan setahun penuhnya sepanjang 4 tahun yang lalu.

 

Katanya, untung bersih 1H22 Maxis jatuh 10% disebabkan susut nilai dan caj pelunasan yang lebih tinggi daripada semakan hayat berguna hak spektrum dan impak cukai makmur.

 

"Keuntungan teras Maxis adalah RM699 juta tidak banyak berubah berbanding 1H22.

 

"Perbandingan suku ke suku pulan, untung teras kumpulan itu naik 16% meskipun kadar jualan tidak banyak berubah dan ia didorong kos perbelanjaan operasi yang rendah terutama kos trafik dan kakitangan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma itu berkata, memandangkan Malaysia memasuki fasa peralihan endemik COVID-19, Maxis menganggap bahawa adalah wajar untuk menyediakan panduan pertumbuhan satu digit rendah hingga pertengahan FY22 untuk hasil perkhidmatan dan pertumbuhan satu digit rata hingga rendah untuk EBITDA berbanding FY21.

 

"Walaupun hasil perkhidmatannya selari dengan andaian kami, kami mengekalkan ramalan untuk pertumbuhan EBITDA negatif dengan mengandaikan kumpulan itu akan menanggung kos rangkaian tambahan sebanyak RM500 juta setiap tahun daripada caj kapasiti borong 5G, kerana kumpulan itu menerima model rangkaian borong tunggal DNB untuk penggunaan rangkaian 5G," katanya.

 

Bagaimanapun, dari perniagaan pengguna, pelanggan bersih meningkat 172,000 kesan daripada sambungan pascabayar, prabayar dan rumah menyumbang secara positif, menjadikan jumlah pelanggan kepada 9.7 juta pada 2QFY22, peningkatan sebanyak 1.8%.

 

"Dari segi perbelanjaan modal, 1HFY22 Maxis berkembang 30% YoY kepada RM412 juta, kerana kumpulan itu terus menumpukan perhatian untuk menambah baik sambungan liputan 4G," katanya. - DagangNews.com