Untung sebelum cukai Public Bank susut 5.3% kepada RM2.1 bilion pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung sebelum cukai Public Bank susut 5.3% kepada RM2.1 bilion pada 3QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Nov - Untung sebelum cukai Public Bank Berhad menyusut 5.3% kepada RM2.1 bilion pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM2.2 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, bagi suku dalam tinjauan, pendapatan faedah bersih dan pendapatan perbankan Islam menurun sebanyak RM139.8 juta (-4.9%)  disebabkan oleh kesan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada suku tahun sebelumnya.

 

Perbelanjaan operasi lain meningkat sebanyak RM43.2 juta (-4%) manakala pendapatan bukan faedah dan pembiayaan menurun sedikit sebanyak RM3.8 juta (-0.6%) tetapi sebahagiannya dikurangkan oleh penurunan elaun rosot nilai pinjaman sebanyak RM62 juta (+64.6%).

 

"Bagi operasi runcit, untung sebelum cukai menurun sebanyak RM127.3 juta (-11.3%) kepada RM1 bilion, disebabkan faedah bersih dan pendapatan pembiayaan yang lebih rendah dan perbelanjaan operasi lain yang lebih tinggi, sebahagiannya dikurangkan oleh yuran dan pendapatan lain yang lebih tinggi.

 

"Bagi segmen sewa beli, untung sebelum cukai berkurangan sebanyak RM31.9 juta (-14.7%) kepada RM185.7 juta disebabkan oleh nilai semula bersih yang lebih rendah bagi elaun rosot nilai pinjaman, tetapi sebahagiannya dikurangkan oleh faedah bersih dan pendapatan pembiayaan yang lebih tinggi," katanya.

 

Kerugian komprehensif lain bagi suku semasa ialah RM40.3 juta berbanding pendapatan komprehensif sebanyak RM136.8 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya disebabkan kerugian tukaran mata wang asing dan sebahagiannya dikurangkan oleh kerugian yang lebih rendah daripada penilaian semula pelaburan kewangan pada suku semasa.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr Tay Ah Lek berkata, kumpulan itu akan terus beroperasi dengan cekap, mengekalkan pengurusan risiko kredit yang berhemat di samping memelihara tadbir urus korporat dan amalan pengurusan risiko yang baik.

 

"Daya tahan kumpulan yang disokong oleh kedudukan modal dan mudah tunai yang baik, serta kualiti aset yang teguh dan rizab kerugian pinjaman yang berhemat akan membolehkan kumpulan menjana keuntungan mampan pada ketika kitaran perniagaan mencabar," katanya dalam satu kenyataan berasingan, hari ini.


Dalam perkembangan sama, untung bersih kumpulan itu meningkat 7% kepada RM1.7 bilion daripada RM1.59 bilion setahun sebelumnya, didorong oleh pertumbuhan pinjaman dan deposit pelanggan yang sihat.

 

Pendapatan bagi suku itu meningkat kepada RM6.48 bilion daripada RM5.5 bilion. 

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang dipacu oleh permintaan domestik dengan keadaan pasaran buruh yang bertambah baik, aktiviti pelancongan dan kemajuan selanjutnya projek pelaburan.

 

Katanya, risiko penurunan berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan global yang lebih tidak menentu.

 

"Keadaan kewangan domestik juga kekal kondusif untuk pengantaraan kewangan dengan daya tahan dalam sistem perbankan Malaysia disokong oleh kecairan yang mencukupi dan penampan modal yang sihat," katanya. - DagangNews.com