UOB Kay Hian anggar minyak sawit mentah diniagakan antara RM3,800 hingga RM4,200 bagi setiap tan pada 2024 | DagangNews Skip to main content

UOB Kay Hian anggar minyak sawit mentah diniagakan antara RM3,800 hingga RM4,200 bagi setiap tan pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Mac - UOB Kay Hian menganggarkan minyak sawit mentah (MSM) diniagakan antara RM3,800 hingga RM4,200 bagi setiap tan pada tahun ini.

 

Katanya, harga akan menjadi lebih tinggi pada separuh pertama tahun ini tetapi diunjur sedikit lemah pada suku ketiga 2024 akibat lebihan bekalan minyak sayur di dalam pasaran.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kesan El Nino bagaimanapun adalah minimum kepada pengeluaran Malaysia dan sederhana kepada Indonesia.

 

“Permintaan kekal lemah dan pasaran hanya menjangkakan peningkatan jumlah import apabila harga MSM lebih rendah.

 

"Kami mengekalkan saranan 'overweight' dan memilih pemain industri huluan dengan pertumbuhan pengeluaran yang baik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengeluaran MSM Malaysia dijangka sedikit positif, memandangkan kesan El Nino adalah minimum ke atas ladang-ladang Malaysia.

 

Bagaimanapun, Indonesia mungkin mencatatkan pertumbuhan pengeluaran minyak sawit yang mendatar atau negatif pada 2024, memandangkan kesan daripada El Nino yang sederhana.

 

Katanya, peningkatan mandat biodiesel di negara pengeluar itu akan menyebabkan bekalan minyak sayur global yang lebih rendah dalam pasaran, yang akan menyokong harga MSM secara tidak langsung.

 

"Permintaan mungkin perlahan tetapi mungkin terdapat stok yang besar apabila harga MSM cukup rendah.

 

"Kami mencadangkan saham syarikat perladangan Malaysia tulen, kerana mereka mampu memanfaatkan harga MSM yang tinggi dengan pertumbuhan pengeluaran yang lebih baik, tanpa terjejas oleh ketidaktentuan dasar.

 

"IOI Corporation Bhd dan Hap Seng Plantations Bhd merupakan pilihan utama kami kerana kumpulan itu memiliki pendedahan besar di Malaysia," katanya. - DagangNews.com