UOB, Lazada bekerjasama tawar produk runcit, penyelesaian perbankan untuk pelanggan di Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

UOB, Lazada bekerjasama tawar produk runcit, penyelesaian perbankan untuk pelanggan di Asia Tenggara

Frederick Chin (kiri) dan James Dong ketika majlis menandatangani MoU antara UOB dan Lazada, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 April - UOB dan Lazada Group memeterai memorandum persefahaman (MoU) bekerjasama dalam menawarkan produk runcit dan penyelesaian perbankan bagi gabungan pelanggan mereka dalam lima pasaran utama Asia Tenggara iaitu Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam. 

 

UOB dalam kenyataan hari ini berkata, kerjasama strategik serantau ini juga akan menyaksikan dua peneraju industri berganding bahu dalam meningkatkan akses kepada pinjaman kewangan bagi penjual e-dagang di platform Lazada.

 

Katanya, ia merupakan usaha sama serantau pertama kali buat Lazada bersama sebuah bank dalam menawarkan pelbagai perkhidmatan pembayaran dan kewangan di Asia Tenggara dan pada masa sama juga, bagi UOB dengan sebuah platform e-dagang. 

 

"Kerjasama ini akan memanfaatkan teknologi dan kedudukan Lazada sebagai platform e-dagang Asia Tenggara yang terkemuka serta kepakaran UOB dalam produk kewangan, perkhidmatan perbankan digital terbaik serta kepercayaan yang telah lama terbina bersama pelanggan. 

 

"Ini akan membolehkan kedua-dua pihak iaitu pelanggan dan penjual menikmati akses lebih baik dan faedah yang dipertingkatkan menerusi perkhidmatan pembayaran dan kewangan yang dapat memenuhi keperluan mereka," katanya.

 

Ketua Perbankan dan Pasaran Borong Kumpulan UOB berkata, Frederick Chin berkata, ASEAN memainkan peranan strategik sebagai kuasa ekonomi kepada pasaran di seluruh dunia. 

 

Katanya, sebagai sebuah bank berkedudukan kukuh di ASEAN, pihaknya berhasrat untuk menyediakan lebih banyak peluang perniagaan merentasi rantau ini. 

 

 

uob

 

 

"Kerjasama dengan rakan kongsi e-dagang seperti Lazada mampu melengkapi usaha berterusan kami dalam menawarkan penyelesaian yang inovatif dan disesuaikan untuk pasaran ASEAN yang semakin membangun. 

 

"Menerusi kerjasama ini, konsumer dan perniagaan boleh mendapat manfaat daripada perkhidmatan kewangan yang memberikan akses kepada pengalaman yang lebih memberangsangkan dalam landskap digital ASEAN yang dinamik," katanya.

 

 

lazada

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Group, James Dong pula berkata, pihaknya komited untuk membina ekosistem yang terbuka dan mudah diakses untuk pasaran Asia Tenggara. 

 

"Kami berbesar hati berkongsi visi ini bersama UOB. Untuk para pengguna, kami akan menawarkan pilihan pembayaran dan pembiayaan yang mudah digunakan, senang diakses dan selamat bagi memenuhi keperluan gaya hidup mereka. 

 

"Manakala bagi jenama dan para penjual, kami bersedia untuk membantu meningkatkan dan merangsang pertumbuhan perniagaan mereka. Kami berada di sini untuk jangka masa panjang, bagi mencapai pertumbuhan yang mampan bersama semua rakan kongsi dalam ekosistem kami," katanya. - DagangNews.com