UOB Malaysia beralih kepada token digital Mighty Secure menjelang Jun 2023 | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia beralih kepada token digital Mighty Secure menjelang Jun 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt - UOB Malaysia komited memindahkan semua pelanggan untuk menggunakan UOB Mighty Secure sepenuhnya menjelang Jun 2023, selaras dengan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) untuk bank menggunakan kaedah pengesahan yang lebih selamat. 

 

Dengan perpindahan itu, pelanggan akan menggunakan token digital mereka untuk mengesahkan transaksi tertentu di laman web perbankan internet peribadi (PIB) UOB dan aplikasi UOB Mighty, seperti pindahan dana, pembayaran serta perubahan pada maklumat peribadi dan tetapan akaun.

 

Token digital UOB Mighty Secure, yang boleh diakses melalui aplikasi UOB Mighty, menggabungkan proses pengesahan dua faktor, justeru menyediakan perlindungan yang lebih selamat berbanding ‘SMS One-Time-Passwords’ atau SMS-OTP, yang dihantar ke telefon bimbit. 

 

Ia menggantikan penggunaan khidmat SMS-OTP yang mana pelanggan tidak lagi perlu mendapatkan kata laluan satu kali melalui mesej teks setiap kali mereka ingin melakukan transaksi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya lima langkah yang diumumkan BNM bagi memastikan keselamatan dan perlindungan yang lebih baik untuk pelanggan daripada penipuan. 

 

"Keselamatan siber amat penting bagi kami. Sejajar dengan usaha untuk terus melabur dalam keupayaan digital dan platform dalam talian kami, UOB Mighty Secure menyediakan cara yang mudah, senang dan selamat bagi pelanggan mengesahkan transaksi pada platform perbankan digital kami. 

 

"Kami akan terus mempertingkat ciri keselamatan bagi membolehkan pelanggan melakukan transaksi dengan selamat secara dalam talian dan melindungi mereka daripada penipuan kewangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sebagai langkah untuk melindungi pelanggan pada masa ini, semua transaksi perbankan berjumlah RM10,000 dan ke atas yang dilakukan melalui laman web UOB dan aplikasi UOB Mighty mesti disahkan dengan UOB Mighty Secure. 

 

Pelanggan yang mendaftar untuk UOB Mighty Secure melalui aplikasi UOB Mighty mereka akan menggunakan kata laluan yang telah ditetapkan oleh mereka sendiri terlebih dahulu bagi mengesahkan transaksi tertentu yang dilakukan melalui UOB Mighty dan PIB. 

 

Kaedah ini lebih senang dan lebih mudah berbanding SMS-OTP, iaitu kata laluan unik yang dijana secara automatik dan sah hanya untuk tempoh masa yang singkat.

 

UOB Malaysia juga akan terus meningkatkan kesedaran mengenai penipuan melalui inisiatif keterlibatan pelanggan di cawangan, dan juga secara elektronik melalui platform media sosial rasmi, mesej teks dan mel terus elektronik. 

 

Pelanggan yang mengesyaki bahawa mereka telah ditipu atau mendedahkan maklumat peribadi atau bank mereka secara tidak sengaja perlu menghubungi Talian Penipuan Kewangan 24 jam UOB di 03-2612 8100 untuk mendapat bantuan. - DagangNews.com