UOB Malaysia tawar pilihan moratorium 6 bulan | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia tawar pilihan moratorium 6 bulan

UOB Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Julai - United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) komited menyediakan bantuan berterusan dalam usaha membantu pelanggan yang terjejas dalam aspek kewangan.

 

Sehubungan itu, UOB Malaysia menawarkan pilihan untuk mengambil (opt-in) moratorium pembayaran balik selama enam bulan dengan kelulusan automatik secepat mungkin kepada individu dan perniagaan.

 

Bank tersebut berkata, lanjutan terkini untuk Program Bantuan COVID-19 Bank yang berkuat kuasa 7 Julai baru-baru ini adalah sejajar dengan pakej bantuan Pemulih yang diumumkan pada 28 Jun 2021.

 

Sebagai tambahan, bank berkenaan menawarkan pilihan kepada individu, perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) untuk mengurangkan ansuran pembayaran balik bulanan sebanyak 50% selama enam bulan.

 

Sementara itu, pelanggan juga boleh menghubungi bank dan memilih untuk menukar baki kad kredit kepada pinjaman berjangka tiga tahun dengan pelan pembayaran ansuran lebih rendah.

 

Langkah berkenaan membolehkan pelanggan menguruskan pembayaran hutang dengan lebih berkesan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Wong Kim Choong  berkata, bank akan mengetepikan faedah terkompaun dan caj penalti yang ditanggung oleh pelanggan dalam tempoh moratorium enam bulan tersebut.

 

Wong Kim Choong
Wong Kim Choong.

 

"Kami telah membuat pindaan kepada Program Bantuan COVID-19 kami sebagai sebahagian daripada usaha dan komitmen bersama daripada industri untuk terus membantu individu dan perniagaan yang terjejas oleh pandemik.

 

"Ketika negara masih dalam sekatan pergerakan di bawah Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara, kami menyedari bahawa ramai individu dan perniagaan akan menghadapi cabaran kewangan.

 

"Kami akan terus berurusan secara proaktif dengan pelanggan kami yang memerlukan bantuan kewangan sebagai sebahagian daripada komitmen kami dalam membantu negara memerangi virus serta impaknya yang luas kepada hidup dan kelangsungan hidup," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu, UOB Malaysia menggalakkan pelanggan yang memerlukan bantuan kewangan untuk menghubungi bank dengan secepat mungkin.

 

Menurut bank berkenaan, penerimaan bantuan pembayaran balik dalam tempoh itu tidak akan mempengaruhi laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) pelanggan dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Pelanggan yang ingin memilih program bantuan UOB Malaysia boleh menghantar permintaan bermula 7 Julai 2021 dengan hanya melengkapkan borang hubungan dalam talian di laman web bank atau hubungi talian hotline khas 03-26128019, Program Bantuan COVID-19 UOB yang beroperasi 24 jam. - DagangNews.com