UOB Malaysia tingkatkan keupayaan baharu perbankan digital dengan pengurusan bekalan kewangan bagi pelanggan korporat | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia tingkatkan keupayaan baharu perbankan digital dengan pengurusan bekalan kewangan bagi pelanggan korporat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Sept -  UOB Malaysia tingkatkan keupayaan baharu perbankan digital UOB Infinity dengan pengurusan rantaian bekalan kewangan (FSCM) bagi pelanggan korporatnya.

 

Penambahbaikan itu menampilkan rangkaian luas rumusan FSCM pada satu platform, termasuk perolehan, pembayaran, pesanan, pengeluaran, jualan dan pengumpulan.

 

Dengan keupayaan baharu itu, pelanggan UOB Malaysia dapat berhubung secara digital dengan pembeli, pembekal dan pengedar dalam ekosistem rantaian bekalan mereka di Malaysia, merentasi ASEAN dan China, kata bank itu.

 

Pelanggan bank akan dapat menghantar dan mengesahkan dokumen perdagangan secara digital dengan selamat melalui platform dan meminta pembiayaan secara digital pada peringkat rantaian bekalan yang berbeza, termasuk pembiayaan pembekal sebelum dan selepas penghantaran, pembiayaan pengedar serta pembelian akaun belum terima.

 

oub

 

Penambahbaikan ini akan memberikan keterlihatan dan kawalan lengkap ke atas tunai, perdagangan dan transaksi FSCM mereka dalam satu platform dengan satu log masuk.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Negara Transaksi Perbankan, UOB Malaysia, Lucas Chew berkata, maklumat menunjukkan bahawa kebanyakan ysarikat sudah bergerak ke arah digital dalam operasi harian bagi memenuhi permintaan serta keperluan perdangan berikutan pembentukan semula rantaian bekalan global.

 

Beliau berkata, keupayaan FSCM baharu pada UOB Infinity menghubungkan pelanggan dengan ekosistem pembekal dan pengedar mereka, membolehkan mereka memantau perniagaan secara menyeluruh selain meningkatkan kecekapan perniagaan. 

 

"Selain itu, kami juga dapat menyokong keseluruhan rantaian bekalan mereka dengan menyediakan aliran tunai atau modal kerja yang diperlukan, sejajar dengan matlamat kami untuk menjadi bank perdagangan rentas sempadan terunggul di ASEAN.

 

"Kami memanfaatkan kedudukan serantau kami untuk membantu perniagaan berkembang di dalam dan di luar ASEAN," katanya.

 

Malaysia merupakan negara ketiga yang memperkenalkan FSCM yang dipertingkatkan, selepas Singapura dan Hong Kong. - DagangNews.com