UOB Malaysia ubah pengalaman perbankan digital untuk pelanggan korporat melalui UOB Infinity | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia ubah pengalaman perbankan digital untuk pelanggan korporat melalui UOB Infinity

Ng Wei Wei
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Pelanggan korporat UOB Malaysia dapat mengurus keperluan perbankan mereka dengan cara yang lebih mudah dan diperibadikan tidak lama lagi.

 

UOB Infinity menawarkan papan pemuka dalam talian yang boleh disesuaikan, justeru membenarkan pelanggan memberi keutamaan dan memaparkan maklumat yang paling penting bagi mereka secara visual. Pelanggan korporat, dengan sepintas lalu, dapat melihat keadaan kewangan syarikat, termasuk pasaran luar negara mereka.

 

Pada platform digital ini, pelanggan boleh menguruskan pelbagai aktiviti perbankan domestik dan rentas sempadan, daripada menyemak akaun UOB di beberapa pasaran sehinggalah kepada melakukan pembayaran tempatan dan antarabangsa, tanpa perlu log masuk ke berbilang platform.

 

Untuk pelanggan dalam perjalanan, UOB Infinity juga boleh dimuat turun sebagai aplikasi mudah alih. Log masuk biometriknya melalui soft token membolehkan akses yang lebih pantas dan kebenaran transaksi yang dipermudahkan sambil mengekalkan keselamatan. 

 

Soft token aplikasi mudah alih ini dilengkapi dengan pengesahan berbilang faktor bagi membolehkan syarikat meluluskan dan menjelaskan transaksi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pelancaran UOB Infinity hari ini merupakan satu lagi bukti komitmen UOB Malaysia dalam membantu syarikat korporat menyesuaikan diri dengan realiti baharu ekonomi digital. 

 

"Kami telah membangunkan UOB Infinity untuk menangani pelbagai keperluan korporat selepas mempertimbangkan pandangan daripada pelanggan kami. Ini termasuk keperluan perdagangan dan keupayaan untuk menjejaki syarikat mereka dalam masa nyata di semua pasaran di mana mereka beroperasi. 

 

"Matlamat kami adalah untuk membantu pelanggan meningkatkan kecekapan operasi mereka dan membuat keputusan perniagaan yang lebih baik melalui pendigitalan, selain membantu mereka merebut peluang serantau melalui kesalinghubungan bank," katanya dalam satu kenyataan.

 

UOB Infinity juga menangani kekurangan penjejakan dalam masa nyata apabila pelanggan korporat membuat pembayaran rentas sempadan. 

 

Penyelesaian digital ini menyediakan pemberitahuan masa nyata kepada perniagaan melalui SMS atau e-mel apabila pembayaran mereka berjaya dikreditkan ke dalam akaun penerima, oleh itu mereka tidak perlu bersusah payah menyemak status transaksi secara manual.

 

Pelanggan juga akan dimaklumkan tentang caj untuk transaksi rentas sempadan, termasuk caj daripada bank perantara. 

 

Ciri ini memberi perniagaan lebih ketelusan tentang kos yang ditanggung untuk transaksi tersebut. Ini membantu mengelakkan berlakunya pertikaian dalam jumlah akhir yang diterima oleh penerima akibat caj yang terlibat. - DagangNews.com