UOB Plaza 1 Kuala Lumpur terima pengiktirafan tertinggi penarafan bangunan hijau | DagangNews Skip to main content

UOB Plaza 1 Kuala Lumpur terima pengiktirafan tertinggi penarafan bangunan hijau

UOB Plaza 1 Kuala Lumpur menempatkan ibu pejabat korporat UOB Malaysia siap dibina pada September 2022.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Jan - UOB Plaza 1 Kuala Lumpur yang menempatkan ibu pejabat korporat UOB Malaysia dianugerahkan sijil platinum daripada GreenRE Real Estate (GreenRE) yang merupakan pengiktirafan tertinggi dalam penarafan bangunan hijau.

 

Pengiktirafan itu juga menyaksikan UOB Malaysia muncul sebagai bank pertama yang dianugerahkan sijil berprestij tersebut di negara ini.

 

Siap dibina pada September 2022, UOB Plaza 1 Kuala Lumpur dibina berdasarkan reka bentuk lentera dan kini menempatkan 3,000 kakitangan UOB Malaysia. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pihaknya amat berbesar hati apabila menjadi bank pertama di Malaysia yang menerima pensijilan platinum GreenRE.

 

"Bangunan ini berdiri teguh sebagai bukti kesungguhan kami terhadap kemampanan dan dalam mencapai aspirasi pelepasan karbon sifar bersih negara. 

 

uob
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei

 

"UOB Plaza 1 Kuala Lumpur bukan sahaja mencerminkan kerancakan transformasi UOB Malaysia, ia juga manifestasi keyakinan terhadap potensi jangka panjang Malaysia serta komitmen berterusan kami kepada negara, warga kerja dan pelanggan UOB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Pengerusi GreenRE, Datuk Seri FD Iskandar berkata, UOB Malaysia telah mengambil langkah cemerlang terhadap kemampanan dengan mengekalkan piawaian tertinggi bagi amalan bangunan hijau untuk ibu pejabat korporatnya. 

 

"Pencapaian ini adalah bukti dedikasi UOB Malaysia mewujudkan ruang hijau yang bukan sahaja mengutamakan tanggungjawab alam sekitar, namun juga kesejahteraan warga kerjanya,” jelasnya.

 

Menurut kenyataan itu, antara pertimbangan utama yang menyumbang kepada pensijilan platinum GreenRE bagi UOB Plaza 1 Kuala Lumpur adalah seni bina lestari, pengurusan tenaga, air dan sisa yang cekap serta tumpuan kepada kesejahteraan warga kerja.

 

Katanya, bangunan ini juga menyediakan pelbagai kemudahan bagi kesejahteraan kakitangan termasuk gimnasium, pusat jagaan kanak-kanak, klinik kesihatan dan bistro di setiap tingkat. 

 

"Menggabungkan unsur penghijauan dalam persekitaran dalaman dan luarannya, bangunan ini juga mempunyai dua taman puncak berinspirasikan botani untuk kemudahan rekreasi dan juga kawasan formal di tingkat 18 dan 29. 

 

"Selain dewan serbaguna di dalam bangunan, kawasan sosial di luar juga diwujudkan bagi menggalakkan penglibatan komuniti yang lebih bermakna," katanya.

 

Usaha kemampanan UOB Malaysia telah diiktiraf oleh The Asian Business Review di Anugerah Perniagaan ESG 2023 yang sulung baru-baru ini dengan menggondol dua anugerah dalam kategori Tenaga Boleh Diperbaharui dan Kesejahteraan Tempat Kerja.

 

Selaras dengan piawaian global, sistem penarafan GreenRE mematuhi Panduan Jaminan Kualiti untuk Alat Penilaian Bangunan Hijau daripada Majlis Bangunan Hijau Dunia, yang memastikan penjajaran dari segi pembangunan, pelaksanaan dan pengendalian alat penarafan bangunan hijau.- DagangNews.com