Kerajaan menyasarkan untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini. - Gambar MalayMail
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Jun - Program vaksinasi COVID-19 akan menjadi penentu kejayaan Pelan Pemulihan Negara untuk keluar daripada krisis pandemik ini yang berlarutan hampir 2 tahun.
Kerajaan menyasarkan untuk menvaksinkan 26 juta penduduk menjelang akhir tahun ini bagi mencapai imuniti kelompok.
Bagaimanapun, UOB Global Economics & Markets Research masih berhati-hati terhadap prospek pertumbuhan tahun ini dengan mengambil kira risiko pandemik yang masih wujud.
"Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelan ini adalah sejajar dengan unjuran kami sebelum ini apabila kami menyemak turun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 kepada 4% daripada 5%," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi 4 fasa PKP secara berperingkat, merupakan strategi peralihan keluar daripada kemelut pandemik COVID-19.
Pada 28 Mei lalu, kerajaan memutuskan melaksanakan PKP menyeluruh di seluruh negara selama dua minggu sebelum dilanjutkan lagi hingga 28 Jun 2021.
Setakat 15 Jun, sebanyak 1.47 juta atau 6.3% penduduk telah menerima dua dos vaksin manakala 13.84 juta atau 59.1% sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19.
Kerajaan dijangka menerima 16 juta dos bekalan vaksin pada Julai. Syarikat farmaseutikal tempatan akan mengimport 10 juta dos vaksin dari China.
Lagi 25 juta dos vaksin pula datang daripada pelbagai sumber dijangka diterima pada suku ketiga ini.
Menurut UOB, kerugian ekonomi sebanyak RM1 bilion sehari ketika PKP kali ini adalah lebih rendah berbanding RM2.4 bilion ketika PKP 1.0.
"Namun, berdasarkan semakan dalaman kami mendapati kerajaan tidak merancang untuk mengumumkan sebarang pakej rangsangan fiskal seterusnya setakat ini," katanya.
Selepas mengumumkan PKP, kerajaan menyediakan pakej sokongan tambahan bernilai RM40 bilion atau 2.6% daripada KDNK di bawah Pemerkasa Plus dengan sebahagiannya besarnya merangkumi moratorium bersasar dan langkah-langkah bantuan berjumlah RM30 bilion.
Kerajaan menyuntik fiskal langsung sebanyak RM5 bilion meliputi bantuan tunai (RM2.1 bilion), program subsidi upah (RM1.5 bilion), menaiktaraf kapasiti kesihatan (RM1 bilion) dan geran bantuan (RM500 juta).
UOB menjangkakan Belanjawan 2022 dan Rancangan Malaysia ke-12 akan dibentangkan apabila Parlimen kembali bersidang pada September atau Oktober ini sekali gus mengukuhkan lagi pelan pemulihan ini. - DagangNews.com