UOBAM Malaysia perkenal dana mampan pertama yang memberi fokus kepada pelaburan dengan pendapatan stabil | DagangNews Skip to main content

UOBAM Malaysia perkenal dana mampan pertama yang memberi fokus kepada pelaburan dengan pendapatan stabil

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Nov - UOB Asset Management (Malaysia) melancarkan United Sustainable Series - Global Credits Fund (USSGCF), dana borong pertamanya yang memberi tumpuan kepada bon daripada syarikat yang mencapai kemajuan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

 

Dana itu bertujuan mencapai objektif pelaburan UOB Asset Management (UOBAM) Malaysia dengan melabur sekurang-kurangnya 90 peratus daripada nilai aset bersihnya dalam RobecoSAM SDG Credit Income (dana sasaran).

 

Selain itu, ia menawarkan pendedahan terpelbagai dalam pasaran kredit global kepada pelabur dan bertujuan memaksimumkan pendapatan sepanjang kitaran kredit.

 


“Kami melabur untuk sesuatu tujuan dan menyediakan pulangan positif dan menyaksikan minat yang semakin meningkat dalam dana tertumpu pada alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang memberi impak positif, terutamanya dalam kalangan pelabur sofistikated yang memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pengamalan ESG.

 

"Kami gembira untuk bekerjasama dengan Robeco dalam menempa masa depan yang mampan dengan menawarkan peluang kepada pelabur untuk melakukan kebaikan sambil menikmati pendapatan yang stabil,” kata Ketua Pegawai Eksekutif UOBAM Malaysia, Lim Suet Ling dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, terdapat bukti yang semakin meningkat yang menunjukkan penjajaran nilai pelaburan boleh membawa prestasi yang mengatasi pulangan secara konsisten dalam jangka panjang.

 

Dana sasaran itu menggunakan rangka kerja ukuran proprietari untuk mengukur sumbangan syarikat dengan 17 SDG PBB.

 

USSGCF sesuai untuk pelabur sofistikated yang mempunyai profil risiko konservatif, tempoh pelaburan jangka panjang dan inginkan pertumbuhan modal dengan melabur dalam portfolio instrumen pendapatan tetap global.

 

Ia disediakan untuk langganan dalam ringgit, dolar Australia, pound sterling, dolar Singapura, dolar AS dan renminbi dengan pelaburan permulaan minimum, masing-masing pada 1,000 menikut nilai mata wang yang ditawarkan.-DagangNews.com