UPM bantu belia India jadi usahawan tani | DagangNews Skip to main content

UPM bantu belia India jadi usahawan tani

Latihan di lapangan secara praktikal di bawah bimbingan pakar pertanian UPM.
Oleh MAHANI AMAT

SERDANG 19 Feb – Seramai 40 orang belia India telah berjaya menamatkan latihan usahawan tani selama sebulan di bawah Program Pembangunan Agropreneur: Connecting Agri Needs (CAN).

  

Program ini dianjurkan oleh Fakulti Pertanian dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Kementerian Perpaduan Negara.

 

Program ini bertujuan untuk melahirkan usahawan tani yang berpengetahuan tinggi pertanian dalam kalangan belia masyarakat India dan memilih pertanian sebagai kerjaya.

 

Terdapat 5 modul yang ditawarkan sebagai pilihan di antaranya adalah modul fertigasi cili, penanaman cendawan, penternakan kelulut, penternakan ikan tilapia dan penternakan ayam. Bukan teori semata-mata tetapi latihan di lapangan secara praktikal turut ditekankan dalam program ini.

 

Peserta berpeluang untuk merasai pengalaman sebenar di lapangan dan turut di bawa melawat ke beberapa lokasi industri yang telah berjaya.

 

 

UPM
Peserta sedang mengeluarkan hasil madu kelulut.

 

Peserta program ternakan ayam, Vasanthan A/L Kaliappan berkata, latihan lapangan di ladang UPM ini sangat penting kerana dapat memberikan kefahaman yang lebih jelas dalam sesuatu modul.

 

''Malah, pengalaman kami melawat MARDI dan ladang industri di kawasan sekitar Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Johor adalah satu pengalaman yang baik. Bukan mudah untuk kita pergi sendiri melawat ladang industri jika sekadar suka-suka”, kata beliau.

 

Vasanthan A/L Kaliappan
                                          Vasanthan A/L Kaliappan

 

 

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr. Ir. B.T. Hang Tuah Baharudin berkata, sebagai sebuah universiti yang memfokuskan pertanian, peserta telah mendapat khidmat kepakaran daripada pegawai akademik dan bukan akademik di UPM secara langsung.

 

''Justeru itu, tunjuk ajar dan ilmu yang dikongsikan perlu dipraktikkan dalam perniagaan masing-masing,'' kata beliau semasa berucap merasmikan majlis penutup dan telah menyampaikan sijil kepada para peserta.

 

UPM
Prof. Dr. Ir. B.T. Hang Tuah Baharudin, TNC (JINM) UPM berucap pada majlis penutup program di UPM pada 19 Februari 2022.

 

UPM

 

UPM

 

UPM
Peserta program bergambar kenangan bersama pakar penceramah dan tetamu kehormat di UPM pada 19 Februari 2022.

 

 

Menurut Tuah, sebagai sebuah universiti yang mempunyai ekosistem pertanian, kami amat menggalakkan untuk lebih ramai komuniti luar datang ke UPM untuk belajar dan mendapatkan khidmat kepakaran daripada UPM sebagaimana selaras dengan konsep Universiti Untuk Masyarakat”.

 

 “Jika program pada kali ini memfokuskan kepada 5 bidang pilihan iaitu fertigasi, cendawan, kelulut, akuakultur dan ternakan ayam, mungkin pada masa akan datang boleh di tambah lagi beberapa program baharu yang mempunyai “demand” dalam pasaran dan lebih terbuka kepada idea menggunakan teknologi moden untuk meningkatkaan produktiviti”, ujarnya lagi. - DagangNews.com