UPM berada di ranking pertama Malaysia dalam subjek Pertanian, Perhutanan dan Veterinar | DagangNews Skip to main content

UPM berada di ranking pertama Malaysia dalam subjek Pertanian, Perhutanan dan Veterinar

KUALA LUMPUR 7 April - Universiti Putra Malaysia (UPM) melonjak ke kedudukan pertama di Malaysia selepas dua subjeknya tersenarai di QS World University Rankings by Subject 2022 berbanding satu subjek pada tahun lalu.

 

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Roslan berkata, subjek Sains Veterinar (Veterinary Science) UPM disenaraikan dalam ranking ke-60 terbaik dunia seterusnya menjadikan subjek ini ranking pertama di Malaysia buat kali pertama.

 

Beliau berkata, subjek Pertanian dan Perhutanan UPM berada pada ranking ke-80 terbaik dunia seterusnya mengekalkan kedudukan ranking pertama di Malaysia bagi tempoh 10 tahun berturut-turut.

 

“Pencapaian kesemua subjek tersebut menunjukkan UPM berjaya membangunkan reputasi antarabangsa untuk standard akademik dan kualiti graduan.

 

“UPM juga berjaya mengekalkan rekod pencapaiannya walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19 apabila warga UPM berjaya mengadaptasikan perubahan dengan amalan norma baharu dalam sistem pembelajaran dan pengajaran, penyelidikan dan inovasi serta jaringan industri dan masyarakat,” katanya. 

 

Kewujudan Hospital Perubatan Veterinar serta Muzium Anatomi Haiwan dilihat antara penyumbang utama kepada pencapaian ini.

 

Fakulti Pertanian, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar serta Fakulti Perubatan Veterinar adalah fakulti pengasas sejak  UPM memulakan sesi akademiknya pada 23 Julai 1973.

 

Sementara itu, pencapaian keseluruhan UPM dalam QS World University Rankings by Subject 2022 merangkumi 24 subjek yang berjaya tersenarai dalam ranking ke-450 terbaik dunia dan 14 daripadanya berada dalam kelompok ranking ke-200 terbaik dunia. 

 

Ini menunjukkan terdapat pertambahan dua subjek baharu yang disenarai dalam ranking ini berbanding tahun lepas hanya 22 subjek sahaja yang disenaraikan. 

 

Merujuk kepada kaedah penilaian QS World University Rankings by Subject 2022 ini, terdapat empat penanda aras iaitu Academic Peer Review, Employer Peer Review, Citations dan H-Index. - DagangNews.com