BINTULU 31 Okt - Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, Sarawak tampil dengan menubuhkan Kursi Pehin Sri Adenan Satem (Kursi Tok Nan) bagi membuat penyelidikan dan mengumpul khazanah etnik Borneo yang masih belum diteroka.
Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS) UPM Bintulu, Prof. Madya Dr. Mohamad Maulana Magiman berkata, penubuhan Kursi Tok Nan ditempatkan di bawah Pusat Penyelidikan Etnik Borneo FKPS oleh sebagai pusat penyelidikan kumpulan etnik Borneo di Sarawak.
"Sepanjang tertubuhnya Kursi Tok Nan sejak 2018, tumpuannya adalah untuk menghimpunkan kumpulan etnik minoriti Sarawak yang sebelum ini jarang di dengar dan diketahui umum.
"Antaranya sebelum ini hanya terdapat 27 kumpulan etnik sahaja yang didaftarkan di dalam buku perangkaan negeri Sarawak.
"Namun pada bulan Februari 2022, jumlah etniknya telah ditambah kepada 31 dengan penambahan kepada empat etnik minoriti baharu dan masih diteruskan kajian penemuan etnik ini," katanya.
Selain itu, penyelidikan Kursi Tok Nan ini telah menemukan dua perayaan baharu yang diraikan oleh etnik minoriti yang dapat diangkat sebagai produk pelancongan seperti etnik Kayan dengan ‘Pesta Doh Ladoh’ dan Pesta Ira Aco bagi masyarakat Lun Bawang yang merupakan pecahan etnik Kelabit-Murut.
Menurutnya lagi, kesemua bentuk perayaan ini didokumentasikan dan akan disimpan di Gelari Tok Nan untuk dikongsi kepada umum.
"Bentuk-bentuk hasil penyelidikan seperti jurnal dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu telah dihasil bagi pemahaman generasi akan datang tentang sesuatu etnik minoriti itu," katanya. - DagangNews.com