UPM duduki tangga ke-158 terbaik dunia QS World University Rankings 2024 | DagangNews Skip to main content

UPM duduki tangga ke-158 terbaik dunia QS World University Rankings 2024

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Jun - Universiti Putra Malaysia (UPM) menduduki tangga ke-158 terbaik dunia dalam QS World University Rankings 2024. 

 

UPM berkata, pihaknya juga menunjukkan peningkatan kedudukan dalam lima indikator penarafan iaitu Reputasi Akademik, Reputasi Majikan, Sitasi per Staf Akademik, dan Peratus Pelajar Antarabangsa dengan indikator pelajar antarabangsa dilihat sebagai kekuatan utama UPM apabila menduduki tangga ke-72 di dunia. 

 

Pada tahun ini katanya, pihak Quacquarelli Symonds (QS) iaitu penganjur penarafan telah menambah tiga indikator baharu menjadikannya sembilan indikator penilaian keseluruhan berbanding hanya enam  indikator penilaian pada tahun sebelumnya. 

 

Selain itu, pertukaran juga turut berlaku terhadap beberapa pemberat indikator.

 

"UPM memandang serius tentang tiga indikator baharu QS World University Rankings iaitu Kolaborasi Penyelidikan Antarabangsa, Kelestarian, dan Impak Majikan QS World University Rankings yang diwujudkan bermula tahun ini. 

 

"Untuk ini, usaha untuk menilai dan menambah baik strategi sedia akan dipergiatkan lagi," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut UPM, perubahan dalam indikator penilaian QS World University Rankings 2024 kali ini memberikan perspektif serta penanda arasan baharu dalam amalan dan pencapaian UPM sedia ada terutama dalam penghasilan penyelidikan yang berimpak tinggi serta graduan yang berkualiti. 

 

Katanya, peningkatan jumlah pelajar antarabangsa yang mengikuti program pengajian di UPM menunjukkan reputasi serta pengiktirafan antarabangsa terhadap kemampuan tenaga akademik di universiti ini dalam memastikan program-program yang ditawarkan adalah mengikut trend semasa. 

 

Dalam pada itu, Naib Canselor UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, pihaknya akan terus kekal memberi perhatian kepada kualiti penyelidikan dalam bidang tujahan utama khususnya bidang pertanian dan keterjaminan makanan di samping meningkatkan reputasi universiti di peringkat kebangsaan dan juga global. - DagangNews.com