UPM, Jabatan Perubatan Rehabilitasi HSAAS rai kepelbagaian OKU | DagangNews Skip to main content

UPM, Jabatan Perubatan Rehabilitasi HSAAS rai kepelbagaian OKU

Para peserta kanak-kanak OKU menyertai pertandingan pertunjukan fesyen di lobi utama HSAAS UPM.
Oleh Nurul Ezzaty Mohd Azhari

KUALA LUMPUR 8 Dis - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi jabatan Jabatan Perubatan Rehabilitasi, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) telah menganjurkan program  penerokaan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) bagi meraikan kepelbagaian golongan ini.

 

Pengarah program 'Discover The Talent -World Disability Day, A World Without Barrier', Dr. Thanalactchucmy A/P Chandrabose berkata program ini memberi penghargaan kepada kanak-kanak OKU khasnya bahawa golongan ini tidak terasing dalam kehidupan bermasyarakat.

 

"Jangan anggap OKU merupakan golongan yang lemah walaupun mereka ada kekurangan fizikal mahupun mental.

 

"Kita perlu memperlihatkan kepada masyarakat mengenai keperluan OKU dalam usaha menyokong dan memberi ruang kepada kanak-kanak daripada keadaan yang berbeza seperti Down Syndrome atau Ceberal Palsy," katanya.


 

UPM
Para peserta , ibu bapa dan AJK bergambar bersama setelah selesai menyertai program ‘Discover The Talent-World Disability Day, A World Without Barrier’

 


Tambahnya lagi, program ini juga merupakan sambutan Hari OKU Antarabngsa yang sering disambut pada setiap 3 Disember sejak 1992.

 

Katanya, sambutan begitu menggalakkan daripada semua 45 peserta OKU yang hadir dan mereka juga dilihat begitu seronok menyertai pelbagai aktiviti yang dijalankan hasil kolaborasi HSAAS bersama Daehan Rehabilitation Hospital Putrajaya serta Jawatankuasa KRIS.

 

"Daripada 45 peserta OKU ini hanya dua orang peserta sahaja usia yang lebih 20 tahun. Selebihnya kanak-kanak dan saya sangat gembira melihat penglibatan aktif mereka sepanjang program," katanya.


 

UPM
Dr. Chan Soak Fong beramah mesra dengan peserta kanak-kanak OKU.

 


Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komuniti, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Dr. Chan Soak Fong berkata program bersama kanak-kanak berkeperluan khas ini dilihat bakal menjadi platform kepada pendedahan yang lebih meluas dalam komuniti madani.


 

UPM
Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Dr. Indra a/p Selvarajah mengendalikan aktiviti terapi muzik.

 


Di samping itu, seorang ibu peserta, Fadhilah Zainal Abidin, 42, yang datang dari Kepong meluahkan rasa teruja apabila anaknya yang menghidap Ceberal Palsy seronok bertemu kenalan baharu.

 

"Saya sangat suka program seperti ini kerana bagus kepada ibu bapa dan kanak-kanak OKU agar tidak hanya duduk di rumah. Seronok saya lihat anak saya bersosial dengan rakan baharu," katanya. - DagangNews.com