UPM komited lahirkan usahawan digital melalui program Road to Technopreneur | DagangNews Skip to main content

UPM komited lahirkan usahawan digital melalui program Road to Technopreneur

Seramai 13 peserta terpilih dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM menyertai program Road to Technopreneur, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Julai - Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowment (WAZAN) dan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) menganjurkan program 'Road to Technopreneur' sebagai inisiatif signifikan untuk melatih dan melahirkan usahawan digital dalam kalangan siswa UPM.

 

Program yang berlangsung selama lapan hari bermula 17 hingga 24 Julai, disertai seramai 13 peserta terpilih yang merupakan pelajar Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM. 

 

Timbalan Pengarah PKPP UPM, Dr. Hizmawati Madzin berkata, program tersebut bertujuan untuk memupuk jiwa keusahawanan dalam kalangan pelajar serta mendorong mereka meneroka bidang teknologi dan pendigitalan yang sedang berkembang pesat. 

 

"Program ini juga merupakan program pensijilan yang memberi nilai tambah kepada pelajar UPM.

 

"Kami berharap program ini dapat memberikan ilmu dan pendedahan yang bermanfaat kepada peserta agar mereka dapat menggabungkan pengetahuan teknologi dengan keusahawanan untuk mencipta produk dan perkhidmatan yang inovatif," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Pengarah WAZAN UPM, Prof Madya Dr Mohd Daud Awang berkata, beliau berharap inisiatif PKPP serta Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat ini menjadi langkah penting untuk melahirkan usahawan digital siswa yang boleh membantu memenuhi keperluan pasaran keusahawanan negara.

 

Terdahulu, pendekatan yang digunakan sepanjang program ini termasuk, sesi ceramah serta perkongsian pengalaman pihak industri dan usahawan berjaya di samping lawatan ke industri. 

 

Selain itu, para peserta juga dikehendaki menyediakan cadangan dan membuat pembentangan di hadapan juri tentang projek keusahawanan digital yang boleh dilaksanakan menggunakan teknologi internet kebendaan (IoT).

 

Matlamat utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai potensi dan peluang dalam bidang keusahawanan teknologi dan pendigitalan serta merangsang minat dalam bidang keusahawanan berinovasi. 

 

Selain itu, para peserta juga bakal menerima pensijilan IoT daripada Cisco Malaysia yang pastinya memberikan nilai tambah yang tinggi untuk memasuki pasaran kerjaya setelah bergraduat kelak. 

 

Program usahawan teknologi dan pendigitalan ini juga telah melibatkan wakil industri sebagai penceramah dan jurulatih yang membimbing peserta mendalami ilmu, kemahiran dan pengetahuan mereka mengenai bidang teknologi, pendigitalan dan keusahawanan. 

 

Pelbagai idea menarik serta pengalaman yang dikongsi sepanjang mereka terlibat dalam bidang usahawan teknologi ini berjaya membuka mata dan minda peserta sekali gus menjadi sumber motivasi dan inspirasi yang menggalakkan mereka untuk menceburi bidang ini.

 

Penganjuran program ini juga membolehkan UPM memantapkan aspek jaringan industri melalui jalinan kerjasama yang strategik dengan pihak industri dalam melatih dan menyediakan bakal graduan seperti yang diperlukan pihak majikan serta bersesuaian dengan tuntutan semasa dan juga masa hadapan. - DagangNews.com