UPM pandang serius dakwaan ahli sejarah Perancis, jurnal sejarah kajian universiti wajar dibincang secara akademik | DagangNews Skip to main content

UPM pandang serius dakwaan ahli sejarah Perancis, jurnal sejarah kajian universiti wajar dibincang secara akademik

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jan - Universiti Putra Malaysia (UPM) menjelaskan artikel kajian 'The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization' disenaraikan dalam pangkalan data Excellence In Research For Australia (ERA) mempunyai polisi 'blind peer reviewed, refereed journal'.

 

UPM berkata, ia bermaksud jurnal kajian itu telah disemak pakar dalam bidang, yang tiada kaitan dengan penyelidik bagi mengelakkan konflik kepentingan untuk mengesahkan dapatan kajian.

 

"Dalam situasi ini, UPM memandang serius dakwaan yang ditujukan kepada universiti. Oleh kerana penyelidikan ini adalah bersifat akademik, UPM berpandangan adalah wajar isu ini dibincangkan dalam ruang akademik.

 

"Juga harus dipertimbangkan bahawa bidang sains sosial dan kemanusiaan adalah terbuka kepada interpretasi untuk pelbagai tafsiran yang mana ia adalah amalan baik untuk kajian seperti ini bagi tujuan penambahbaikan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut UPM, pihaknya komited memelihara martabat pendidikan tinggi serta meneruskan integriti dalam aktiviti penyelidikan ilmiah dan penerbitan akademik.

 

Semalam media melaporkan, seorang sejarawan Perancis mendakwa, dua ahli akademik dari UPM mengemukakan fakta salah berkaitan sejarah pelayaran Melayu dan mempersoalkan kredibiliti jurnal akademik yang diterbitkan.

 

Dalam hantaran di Facebook, Serge Jardin menamakan Rozita Che Rodi dan Hashim Musa, kedua-duanya ahli akademik dari UPM sebagai penulis kertas berjudul 'The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization' yang diterbitkan dalam International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, Jilid 13, Isu 11, 2023.

 

Jardin mendakwa, imej yang digunakan dalam kertas kerja itu menunjukkan model Jong Melayu (sejenis kapal layar yang berasal dari Jawa, Indonesia yang digunakan secara meluas oleh pelaut Jawa, Sunda dan kemudian oleh pelaut Pegu dan Melayu) sebenarnya adalah 'Foochow Pole Junk' (sejenis kapal kargo) dari China. - DagangNews.com