SERDANG 28 Jun - Umum mengetahui harga durian kini semakin meningkat sehingga membuatkan segelintir masyarakat tidak mampu untuk membelinya dan hanya mampu menjadi penonton meyaksikan jualan durian di tepi jalan sahaja.
Kita sememangnya tidak mahu harga durian terus meningkat memandangkan kini sistem pemasaran telah berubah kepada kaedah timbang berbanding membeli durian secara longgok seperti dahulu kala.
Pengarah Pusat Pertanian Putra (PPP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Siti Zaharah Sakimin berkata, perkara yang perlu dilakukan bagi mengelakkan harga durian terus meningkat ialah memperbanyakkan lagi industri durian dengan menggalakkan penanaman durian.
Beliau berkata, potensi penurunan harga durian akan berlaku sekiranya industri durian negara lebih rancak dan membantu masyarakat untuk membelinya kerana harga yang ditetapkan bergantung pada kuantiti penghasilan durian di Malaysia.
"Musang King yang memiliki rasa dan harganya yang premium kadang kala mencecah sehingga RM80 per kilogram perlu diperbanyakkan lagi penanamannya agar ia dapat dipasarkan dengan lebih meluas dan rakyat di Malaysia juga dapat memilikinya dengan harga mampu milik.
"Secara logiknya sesuatu barangan itu akan turun harganya apabila kuantitinya banyak dihasilkan namun apabila barangan tersebut memiliki kuantiti yang terhad dan sedikit akan menyebabkan rakyat tidak mampu memilikinya.
Justeru, kita mengharapkan pengusaha durian menawarkan pelbagai varieti durian atau durian klon seperti durian botak yang akan menjadi produk baharu kepada penggemar durian di negara ini.
Selain itu, perlunya untuk memperbanyakkan penanaman pokok durian yang sering mendapat permintaan dalam dan luar negera agar meningkatkan lagi ekonomi negara di samping ia juga membolehkan petani dan pengusaha mendapat peluang lebih baik pada masa hadapan.
Tambahan lagi, durian menawarkan khasiat serta kebaikan terhadap aspek kesihatan kerana mengandungi komponen berkhasiat iaitu Karotenoid dan Flavonoid yang bersifat anti oksida serta Polifenol yang bertindak sebagai anti radang.
Antara khasiat yang ditawarkan oleh durian ialah membantu penghadaman berikutan kandungan kandungan seratnya yang mampu untuk melancarkan pergerakan usus dan penghadaman.
Durian yang kaya dengan kandungan zat besi membantu mencegah anemia kerana zat besi merupakan elemen yang paling penting diperlukan untuk pembentukan sel darah merah.
Setiap 100 gram durian menyumbang kira-kira 23.3mg vitamin C. Ini menunjukkan bahawa durian mempunyai komposis vitamin C yang tinggi yang mampu mencegah penyakit skurvi (kekurangan vitamin C) dan meingkatkan sistem imunisasi badan. - DagangNews.com