UPM tubuh makmal dagangan bagi didik pelajar asas pelaburan saham | DagangNews Skip to main content

UPM tubuh makmal dagangan bagi didik pelajar asas pelaburan saham

(Dari kiri) Ketua Broker Runcit Malaysia RHB Investment Bank, Ch’ng Kien Hong, Datuk Mohd Asri Ahmad, Prof Dr Bany Ariffin Amin Noordin dan Ekuiti dan Niaga Hadapan Runcit Kumpulan RHB Investment Bank, Eddy Tan Kheak Geai ketika perasmian makmal dagangan saham di UPM, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Sekolah Perniagaan Ekonomi (SPE) Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Asri Ahmad Academy (AAA) Sdn Bhd dan RHB Investment Bank membangunkan Makmal Dagangan atau dikenali sebagai ‘Share Trading Lab Powered by RHB Investment Bank’ bagi mendidik pelajar asas pelaburan saham dengan betul. 

 

Dekan SPE UPM, Prof Dr Bany Ariffin Amin Noordin berkata, makmal tersebut akan memberikan peluang kepada pelajar UPM untuk mempelajari secara ‘real time’ proses jual beli saham melalui perisian yang dibekalkan oleh pihak RHB Investment Bank. 

 

Katanya, pembangunan makmal ini sekali gus dapat meningkatkan potensi dan kebolehpasaran graduan dan membolehkan mereka mendapat pelbagai peluang pekerjaan dalam pasaran modal.

 

"Selain itu, makmal dagangan ini akan menjadi permulaan perkongsian ilmu latihan praktikal dan teknikal bukan sahaja kepada pelajar malah kepada warga UPM.

 

"Dalam mendepani cabaran ekonomi pada masa kini pelajar dan warga UPM perlu sentiasa peka serta berfikiran kritis untuk meneroka segala peluang yang ada untuk menjana pendapatan bermula di universiti," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Bany Ariffin berkata, pembangunan Share Trading Lab ini adalah inisiatif dan cetusan idea Pengarah Urusan AAA, Datuk Mohd Asri Ahmad yang merupakan Mentor Pelaburan Saham Syariah di Malaysia. 

 

"Penubuhan makmal ini juga selari dengan pencapaian akreditasi SPE UPM di peringkat antarabangsa iaitu AACSB dan EQUIS yang mampu melonjakkan lagi nama SPE UPM di peringkat global," katanya. 

 

 

upm
Pelajar UPM diberi penerangan mengenai pelaburan saham

 

 

Sementara itu, Pelajar Bacelor Ekonomi dengan Kepujian (BE) SPE UPM, Noorfaizah Zainal Abidin berkata, dia berharap agar makmal ini dapat melahirkan lagi graduan yang celik pelaburan serta membentuk graduan yang kompetetif di pasaran kerjaya. 

 

"Peluang untuk meneroka kemahiran teknikal ini sangat membantu graduan di luar sana menjadi lebih resilien dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata untuk menyediakan pasaran kerja," katanya. 

 

 

upm
Muhamad Adib Mohammed

 

 

Kakitangan UPM, Muhamad Adib Mohammed berkata, dengan adanya makmal pelaburan di SPE, ia dapat memupuk kesedaran dan pendedahan yang lebih baik kepada pelajar dan kakitangan tentang saham. 

 

"Para pelajar dan staf kini boleh mempelajari kaedah pembelajaran berkenaan dengan pelaburan secara interaktif dan 'hands-on' serta boleh mengambil peluang untuk mempelajari ilmu pelaburan dan pengurusan kewangan," katanya. - DagangNews.com