UPM tubuh skuad sukarelawan sempena ulang tahun ke-72 MAB | DagangNews Skip to main content

UPM tubuh skuad sukarelawan sempena ulang tahun ke-72 MAB

Golongan OKU penglihatan MAB mengadakan pameran sempena majlis sambutan ulang tahun ke-72 MAB
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Jan - Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) menjalin kerjasama menubuhkan Skuad Sukarelawan MAB (Giving Is Living) sempena sambutan ulang tahun ke-72 persatuan tersebut.

 

UPM memaklumkan, skuad sukarelawan itu membabitkan penyertaan daripada wakil pelajar dan pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan universiti berkenaan.

 

Katanya, usaha sama itu juga merupakan salah satu inisiatif untuk kelestarian memorandum persefahaman (MoU) UPM dan MAB yang dimeterai pada 7 Mac 2023. 

 

"Pada majlis itu, sukarelawan diberi peluang untuk bersuai kenal dengan golongan istimewa penglihatan MAB dalam menjalankan aktiviti harian seperti melipat baju, berjalan menggunakan 'walking stik' dan penghasilan manik. 

 

"Pameran dan jualan daripada golongan istimewa penglihatan MAB diadakan dan orang awam dapat mengenali braille dengan lebih mendalam," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Timbalan Presiden MAB, Datin Fauziah Mohd Ramly berkata, sokongan dan latihan kepada OKU penglihatan adalah amat penting bagi membantu mereka hidup berdikari.

 

"Kami bertanggungajwab mengadakan peralihan paradigma terhadap pekerjaan golongan tersebut yang sering dikenali sebagai penjual tisu," katanya.

 

 

upm
Skuad Sukarelawan MAB terdiri daripada wakil-wakil pelajar dan pensyarah UPM. 

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Datuk George Thomas berkata, skuad tersebut bertujuan menggalakkan penyertaan dan sokongan daripada golongan belia untuk membantu membantu Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan dalam menjalankan urusan harian dan program-program anjuran MAB. 

 

Ketua Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan FPP yang mengetuai Skuad Sukarelawan MAB UPM, Prof Madya Dr Nor Wahiza Abdul Wahat berkata, pihaknya akan merekrut ahli sukarelawan daripada UPM sebanyak mungkin dan projek-projek komuniti anjuran FPP, SPE dan FPSK juga akan dijalankan.

 

 

upm
Prof Dr Rozanah Ab Rahman mewakili UPM menerima cenderahati dan sijil daripada Datin Fauziah Mohd Ramly. Turut kelihatan, Datuk George Thomas (kanan).

 

 

upm
Wakil sukarelawan FPSK UPM, Ong Xin Yi (kiri) bersama golongan OKU penglihatan MAB dan wakil sukarelawan daripada Sunway University dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan yang memenangi tempat ketiga untuk aktiviti berpasukan.

 

 

Pensyarah yang berperanan sebagai wakil fakulti bagi projek jaringan industri dan komuniti ini adalah Prof Dr Rozanah Ab Rahman (SPE), Prof Madya Dr Ng Yee Guan (FPSK), Saidatul Ibrahim (SPE) dan Dr K Mageswari (FPP).

 

Selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goal, SDG) 4, Pendidikan Berkualiti dan 10, Pengurangan Ketidaksamaan, Skuad Sukarelawan MAB UPM dijangka akan mendatangkan pelbagai manfaat dan jalinan kerjasama kepada para peserta serta rakan strategik terlibat. - DagangNews.com