UPM ungguli inovasi pertanian pintar peringkat kebangsaan | DagangNews Skip to main content

UPM ungguli inovasi pertanian pintar peringkat kebangsaan

Pasukan UPM bergambar bersama anugerah dan sijil selepas meraih kemenangan menerusi inovasi pertanian yang dihasilkan pada Pertandingan Inovasi Smart Farming di Kolej Vokasional Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 13 Okt - Dua kumpulan inovasi Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) mengharumkan nama universiti apabila meraih johan dan naib johan 'Pertandingan Inovasi Smart Farming' bagi kategori Institut Pengajian Tinggi, baru-baru ini.

 

Inovasi Sistem Venturi: Penyuntik Baja Pintar yang mengetengahkan sistem pembancuhan baja secara automatik menggunakan venturi injektor berjaya menduduki tempat kedua, manakala Sistem Dutch Bucket Sifar Sisa yang menggunakan baldi sebagai pot tanaman bagi sayuran berbuah pula meraih tempat pertama pertandingan itu.

 

Ketua kumpulan inovasi Sistem Venturi, Amir Taufiq Sabuddin berkata, inovasinya itu membolehkan air baja ditarik dengan hanya mengawal perbezaan tekanan bendalir tanpa bantuan mekanikasi elektrik.

 

"Pembancuhan baja melalui sistem ini mengadaptasi Prinsip Bernouli iaitu semakin tinggi kelajuan bendalir, semakin kurang tekanan yang akan menyebabkan air baja ditarik secara automatik ke dalam salur paip dan terus disalurkan ke plot tanaman. 

 

"Sistem ini menjimatkan masa pembancuhan baja sehingga 92% berbanding kaedah pembancuhan manual dan hanya memerlukan seorang pekerja untuk memantau operasi. Jadi secara tidak langsung meningkatkan efisyen kerja," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, kemenangan itu diraih menerusi Karnival Agrotek MADANI @ KVKPM 2023 Peringkat Kebangsaan di Kolej Vokasional Pasir Puteh, Kelantan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan.

 

 

UPM
Sistem Penyuntik Baja Pintar merangkul johan pertandingan yang menggunakan venturi injektor bagi menarik baja dengan hanya mengawal perbezaan tekanan bendalir tanpa bantuan mekanikasi elektrik.

 

 

upm
Sistem Hibrid Dutch Bucket meraih naib johan yang menggabungkan sistem akuaponik dan hidroponik.

 

 

Sementara itu, inovasi naib johan yang diketuai oleh Amir Taufiq berkata, kemenangan itu membakar semangatnya bersama tiga lagi ahli kumpulannya untuk terus melakukan inovasi dalam teknologi pertanian yang memberi manfaat buat masyarakat.

 

"Syukur atas kemenangan ini. Kami akan terus mencipta inovasi pertanian baharu supaya dapat diaplikasikan oleh pekebun kecil, pengusaha dan komuniti dalam membantu mereka menambah produktiviti dan meningkatkan hasil pengeluaran tanaman.

 

 

upm

 

 

"Sistem Hibrid Dutch Bucket adalah gabungan sistem akuaponik dan hidroponik. Melalui sistem ini, sisa buangan dari sistem ternakan ikan (akuaponik) digunakan semula sebagai sumber nutrien kepada tanaman melalui kaedah hidroponik," katanya. 

 

Tambahnya, kaedah ini sesuai digunakan dalam kalangan komuniti dengan amalan penghasilan tanaman tanpa berlakuknya pembaziran serta penggunaan baldi dari bahan terpakai untuk dijadikan pot tanaman. - DagangNews.com