SERDANG 1 Sept – Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Yayasan Pelajaran MARA (YPM) telah menyerahkan sumbangan bantuan set barangan makanan yang bernilai RM10,000.00 kepada 100 pelajar yang terlibat.
Ketika simbolik penyerahan, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA, Dato’ Dr. Mohd Nizar Sudin menyampaikan sumbangan tersebut kepada 100 pelajar disaksikan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Roslan Sulaiman. Turut serta, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Nuruliman Ibrahim dan Ketua Eksekutif YPM, Mohd Amran Mohd.
Akibat daripada pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan, para pelajar tidak dapat pulang ke rumah masing-masing dan diifahamkan kira-kira 1,000 pelajar sedang mengikuti pengajian di kampus UPM.
Mengambil inisiatif di bawah Skim Dana Pendidikan (SDEP), YPM cakna dan terpanggil untuk memberikan sumbangan berbentuk keperluan makanan kepada pelajar-pelajar asnaf dan B40 yang terkesan akibat pandemik ini.
Skim SDEP diwujudkan bagi menyediakan bantuan kewangan secara one-off bagi meringankan beban pelajar yang mengalami masalah kewangan semasa mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi.
Bagi tahun 2021, seramai 313 pelajar telah menerima manfaat dengan jumlah bantuan sebanyak RM225,440.10. - DagangNews.com