UPSI gerakan Projek Bakul Buku di Pulau Tuba bagi pupuk minat membaca | DagangNews Skip to main content

UPSI gerakan Projek Bakul Buku di Pulau Tuba bagi pupuk minat membaca

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Nov - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) menggerakkan kempen ‘Projek Bakul Buku’ bagi memupuk minat membaca dalam kalangan penduduk di Pulau Tuba, Langkawi.

 

Program berbentuk tanggungjawab sosial korporat iaitu sumbangan bakul berisi bahan bacaan seperti buku dan majalah yang mendapat saranan daripada pakar rujuk Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI.

 

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, kebanyakan bahan bacaan yang dimuatkan dalam bakul buku merupakan buku-buku bergambar, komik, majalah serta pelbagai buku beraneka genre mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat. 

 

“Di Pulau Tuba misalnya, sebuah penempatan kecil masyarakat nelayan, di mana kurang capaian untuk mendapatkan buku-buku atau bahan bacaan yang menarik dan berkualiti. 

 

"Dengan adanya inisiatif seperti ini, sekaligus dapat menyokong hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk memasyarakatkan universiti (U4S) serta dapat melestarikan perkembangan pendidikan negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Timbalan Pengarah UCTC UPSI, Dr. Mohd Azlan Nafiah berkata, bakul-bakul buku itu diberikan kepada para pengusaha restoran, warung kopi dan premis perniagaan berunsur perkhidmatan seperti salun rambut dan bengkel kereta untuk diletakkan di ruang niaga mereka sebagai nilai tambah pelanggan sambil menggalakkan masyarakat membaca.

 

naib
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff,

 

"Sukarelawan UPSI daripada pelbagai jabatan dan fakulti antaranya pegawai-pegawai Perpustakaan Tuanku Bainun dan petugas Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) UPSI telah mengedarkan beberapa buah bakul buku di premis-premis perniagaan seperti warung kopi dan kedai makan di sekitar perkampungan Pulau Tuba, sebagai projek rintis program berkenaan. 

 

“Peralihan fasa endemik di negara menyaksikan pemulihan sektor ekonomi di tanah air, menjadikan premis makanan antara lokasi tumpuan penduduk setempat menjamu selera. 

 

"Ketika pelanggan sedang menunggu sajian makanan yang dipesan terhidang, terdapat kemungkinan para pelanggan ini akan mengambil dan membelek bahan bacaan dalam bakul buku tersebut,” jelasnya.  

 

Pengusaha kedai makanan di kawasan perumahan KEDA di Teluk Berembang, Chaharis Kamis berkata, program itu merupakan penggalakan kepada budaya membaca dalam kalangan penduduk di kawasan itu.

 

“Warung saya menyajikan makanan ringan serendah RM1, beroperasi seawal pukul 8 pagi hingga 7 malam. 

 

"Rata-ratanya pelanggan terdiri daripada anak-anak penduduk akan beli makanan, jika mereka berminat nak membaca, mereka boleh ambil buku dalam bakul dan membaca buku-buku yang mereka suka,” jelasnya.

 

chanharis

 

Seorang lagi pengusaha kedai makanan, Nurin Syazia berkata, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada anak-anak penduduk sekitar yang banyak menghabiskan masa dengan telefon bimbit ketika makan di warung. 

 

“Dengan adanya buku-buku dan majalah di warung saya, anak-anak penduduk di kawasan sekitar sini boleh duduk membaca bahan-bahan bacaan yang bermanfaat, tidaklah mereka hanya asyik leka bermain telefon saja,” jelasnya.-Dagangnews.com