Uptown Square Bandar Rimbayu di Teluk Panglima Garang akan dilancar pada 19 Jun 2022 | DagangNews Skip to main content

Uptown Square Bandar Rimbayu di Teluk Panglima Garang akan dilancar pada 19 Jun 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Jun - IJM Land akan melancarkan Uptown Square di Bandar Rimbayu, Teluk Panglima Garang secara rasmi pada 19 Jun 2022.

 

Uptown Square merupakan sebahagian daripada komponen Hab Perniagaan Rimbayu yang memiliki nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM308 juta.

 

Ia memiliki 119 kedai pejabat dengan saiz antara 3,300 hingga 7,539 kaki persegi yang akan ditawarkan pada harga bermula RM2.08 juta.

 

Pengurus Besar Kanan Bandar Rimbayu, Chai Kian Soon berkata, unit-unit di Uptown Square dibahagikan kepada bangunan dua dan tiga tingkat dengan ruang binaan yang praktikal selain memiliki lima pintu masuk dan keluar dengan ruang letak kenderaan yang selesa.

 

Ruangan komersial itu akan menampilkan pelbagai kemudahan seperti makanan dan minuman, hotel, kediaman, pusat beli belah, pusat sukan, bilik pameran dan pejabat korporat.

 

"Pelabur dan pemilik perniagaan tidak hanya membeli kedai sahaja sebaliknya membeli keseluruhan ekosistem perniagaan yang membolehkan mereka berkembang dengan baik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

rimbayu

 

Beliau menjangkakan popuasi di Bandar Rimbayu akan mencecah 100,000 orang dalam tempoh lima tahun akan datang selain menjangkakan kewujudan komuniti yang bersemangat dengan gaya hidup ceria.

 

Kemasukan Pusat Logistik dan Pengedaran J&T yang berkeluasan 30 ekar dengan cadangan pelaburan RM600 juta selain cadangan pasar raya besar dan Pusat 3S, seramai 4,000 tenaga kerja akan hadir ke Bandar Rimbayu bagi memanfaatkan perniagaan di Uptown Square.

 

Bandar Rimbayu terletak di atas kawasan seluas 1,879 ekar dengan GDV RM1.1 bilion.

 

Bandar itu boleh diakses menggunakan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) danLEbuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang akan siap pada 2024. - DagangNews.com