Usah ghairah laksana Rang Undang-undang GEG, utamakan pemulihan ekonomi negara  | DagangNews Skip to main content

Usah ghairah laksana Rang Undang-undang GEG, utamakan pemulihan ekonomi negara 

Oleh FLK

Menteri Kesihatan komited untuk membentangkan pindaan `Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023, yang turut merangkumi Dasar Generasi Penamat Rokok (GEG) yang melarang produk tembakau kepada induvidu yang dilahirkan selepas 2007.

 

Sejak awal pelantikannya, media dan kumpulan anti-merokok telah mengutarakan mesej itu berulang kali iaitu meminta Rang Undang-undang GEG diluluskan.

 

Agak menghairankan walaupun segala kepincangan dalam penjagaan kesihatan kita timbul dan didedahkan, kemudian PKP dan di kala Menteri mengutamakan kemiskinan berbanding kebanyakan isu, Menteri kini mengutamakan pula kelulusan Rang Undang-undang GEG berbanding keperluan lain yang lebih mendesak?

 

Generasi penamat tembakau perlu menangani isu sistem pelaksanaan dengan lebih mendalam berbanding tingkah laku individu.

 

Jawapan kepada mengapa pilihan ini dipertimbangkan (GEG) adalah kerana beliau mengikut mantannya sebelum ini tetapi bukan pilihannya sendiri. Mempengerusikan dan membawa negara ke dalam rekod sebagai negara pertama di dunia yang meluluskan rang undang-undang GEG, yang mana merupakan sesuatu yang dielakkan oleh negara-negara di dunia maju lain sehingga hari ini walaupun negara-negara ini telah berbincang terlebih dahulu mengenai memperkenalkan rang undang-undang sedemikian di negara masing-masing.

 

Semoga Menteri tidak terperangkap dengan slogan Malaysia Boleh.

 

Tergesa-gesa untuk membentangkan pindaan mungkin memberinya satu pencapaian dan akan membawanya gelaran Menteri Kesihatan Wanita Pertama Malaysia meletakkan asas dan mencetuskan ‘dunia bebas tembakau' dan untuk menjadikan mereka yang berada di belakang pelaksanaan operasi dan penguatkuasaan kaya.

 

Ketidaktentuan ekonomi sekarang

Dengan segala ketidaktentuan ekonomi yang dihadapi negara hari ini, inilah masanya kita perlu disokong oleh kerajaan dari segi kemudahan berniaga dan tidak sarat dengan prosedur yang membebankan.

 

Jika Rang Undang-undang GEG diluluskan pastinya banyak wang perlu diperuntukkan untuk pelaksanaan dan penguatkuasaannya contoh, pelaburan dalam inisiatif komunikasi bagi menjelaskan dasar dan faedah akta yang akan dilaksanakan kepada generasi akan datang, pelaburan untuk pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan peruncit dan pelaburan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik dari segi sosioekonomi.

 

Diakui terdapat jurang demografi dalam penggunaan tembakau di negara ini dengan kumpulan terbesar sebagai potensi perokok yang semakin tua.

 

Pelaburan juga perlu dibuat untuk membendung jangkaan peningkatan dalam perdagangan haram tembakau di peringkat perniagaan dan jenayah terancang serta pelaburan tambahan bagi sumber untuk mengukuhkan Jabatan Kastam bagi pengesanan produk tembakau yang diseludup dan penubuhan program pemantauan untuk mengesan penggunaan produk seludup apabila dasar baharu itu berkuat kuasa.

 

Dengan hutang sebanyak RM1.5 trilion dan dengan kemungkinan pemotongan bajet untuk kebanyakan perbelanjaan negara, nampaknya negara tidak mampu untuk menyegerakan undang-undang ini dalam keadaan seperti ini.

 

Berikutan perkembangan ini, kemungkinan besar dana yang ditetapkan, jika ada, akan menjadi terhad dan dengan pembiayaan yang terhad ini dan kekurangan perkhidmatan kesihatan awam yang ditetapkan oleh kerajaan untuk Malaysia Bebas Tembakau 2040, negara tidak akan mempunyai sumber yang mencukupi untuk mencapai matlamat 2040.

 

Pembaziran sumber dan perbelanjaan bencana adalah potensi kesan sampingan ekonomi daripada kelulusan Rang Undang-undang GEG sekiranya kerajaan tidak bersedia dan komited untuk menyediakan pembiayaan yang mencukupi untuk pelaksanaan, penguatkuasaan dan pemantauannya.

 

Akauntabiliti

Adakah terdapat sebarang kepastian kepada akauntabiliti, penambahbaikan, skalabiliti dalam inisiatif mampan ini dalam draf terkini Rang Undang-undang GEG?

 

Sebagai contoh, langkah untuk membangunkan tindakan berasaskan bukti, pakej teknikal berkepentingan, intervensi berasaskan bukti yang jika digabungkan bakal memberi impak yang besar.

 

Selain itu, pengurusan prestasi yang berkesan terutamanya melalui pemantauan, penilaian semasa yang ketat dan penambahbaikan program, perkongsian dan gabungan antara organisasi sektor awam dan swasta, maklumat komunikasi yang betul dan tepat pada masanya kepada komuniti kesihatan, pembuat keputusan, dan orang ramai untuk mempengaruhi perubahan tingkah laku dan melibatkan masyarakat awam serta komitmen politik untuk mendapatkan sumber dan sokongan untuk tindakan yang berkesan.

 

Jika ia tidak merangkumi proses-proses yang mampu memberi kejayaan dan yang penting bagi rakyat adalah hasilnya, seperti pelaksanaan yang cekap, langkah-langkah penguatkuasaan dan hasil kesihatan, keyakinan terhadap Rang Undang-undang GEG akan meningkat sejurus ia diperkenalkan.

 

Adakah kerajaan bersedia untuk menjamin tahap minimun hasil yang bakal boleh dicapai dalam jangka masa tertentu jika penggubal undang-undang memutuskan untuk meluluskan Rang Undang-undang GEG?

 

Jika tidak, semua usaha setakat ini adalah membazir dan tidak beretika.

 

Mungkin ada lebih banyak perkara yang berlaku disebalik yang boleh kita lihat atau faham tentang mengapa ia tergesa-gesa, pembentangan sebanyak dua kali iaitu dari mantan Menteri Kesihatan dan kini dengan Menteri Kesihatan sekarang untuk meneruskan Rang Undang-undang GEG.

 

Jangan beri mereka senjata yang tajam dan letakkan pisau di tangan mereka.

 

Jika ini gagal, akibatnya boleh menjadi lebih buruk daripada apa yang ingin dilakukan. - DagangNews.com

 

 

PENAFIAN: Artikel di atas adalah pendapat penulis semata-mata dan tidak menggambarkan pendirian Sidang Editorial DagangNews.com