Usaha Capital A aktifkan semula semua pesawat lebih perlahan daripada jangkaan – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Usaha Capital A aktifkan semula semua pesawat lebih perlahan daripada jangkaan – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Feb - Usaha Capital A Berhad untuk mengaktifkan semula semua pesawatnya lebih perlahan daripada jangkaan namun ia tetap akan terjadi tahun ini, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Setakat 31 Disember 2023, firma penyelidikan itu berkata hanya 75% pesawat sedia adanya telah beroperasi semula berikutan usaha mengaktifkan baki pesawatnya lebih perlahan daripada jangkaan kerana ketiadaan alat ganti enjin.

 

“Capital A menjangkakan baki pesawat akan beroperasi semula pada pertengahan tahun ini tetapi kami mengandaikan bahawa mereka akan diaktifkan semula menjelang akhir tahun ini.

 

“Walaupun kecewa, kami percaya bahawa ia hanyalah persoalan 'bila' keseluruhan pesawatnya akan kembali beroperasi dan bukan 'jika',” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Mengulas tentang suku keempat Capital A berakhir 31 Disember 2023, Maybank IB menjangkakan keputusan kewangannya mungkin kurang memberangsangkan memandangkan permintaan pada Oktober dan November 2023 adalah kurang ideal mengikut musim.

 

“Bagaimanapun, menjelang Disember 2023, kami difahamkan bahawa permintaan bertambah baik. Tambahan pula, usaha untuk menaikkan tambang selepas MYAirlines menggantung operasi benar-benar dirasai pada Disember 2023 selepas tambang harga kompetitif pada Oktober dan November 2023 berjalan lancar,” katanya.

 

Secara positif, firma penyelidikan itu menyatakan bahawa butiran lanjut mengenai pelan penyusunan Nota Amalan 17 (PN17) kumpulan itu berhubung penjualan pegangan sahamnya dalam empat syarikat penerbangannya kepada AirAsia X mungkin diketahui sebelum akhir bulan.

 

Pada 8 Januari 2024, Capital A dilaporkan telah menandatangani surat tawaran tidak terikat bersama AirAsia X untuk cadangan melupuskan perniagaan penerbangannya iaitu AirAsia Bhd (AirAsia Malaysia) dan AirAsia Aviation Group Limited (anak syarikat AirAsia di Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja). 

 

Maybank IB menambah bahawa butiran lanjut mengenai rancangan Capital A untuk membalikkan pengambilalihan Syarikat Pemerolehan Tujuan Khas (SPAC) dan menyuntik jenama AirAsia serta perniagaan pajakan pesawat ke dalamnya mungkin diketahui sebelum 30 April 2024.

 

“Dengan dua urus niaga disebutkan di atas, Capital A yakin dengan munasabah bahawa ia boleh mengurangkan kedudukan negatif ekuiti pemegang sahamnya,” kata firma itu.

 

Firma itu memperluas kerugian bersih teras kumpulan tersebut bagi tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 58% serta meramalkan kerugian bersih FY24 sebanyak RM63.7 juta berbanding unjuran keuntungan bersih RM519.5 juta sebelum ini dan mengurangkan keuntungan bersih teras FY25 sebanyak 13%.

 

Maybank IB mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 92 sen berbanding RM1.01 sebelum ini.

 

Setakat pukul 10:05 pagi ini, saham Capital A susut 0.5 sen atau 0.7% kepada 70 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM2.98 bilion.  - DagangNews.com