Usaha pemulihan ekonomi buahkan hasil, kata PM | DagangNews Skip to main content

Usaha pemulihan ekonomi buahkan hasil, kata PM

PUTRAJAYA 31 Dis - Di sebalik segala kesulitan yang dihadapi, tahun 2021 juga menyaksikan permulaan usaha Kerajaan untuk memulih dan menstrukturkan ekonomi negara telah membuahkan hasil dengan pencapaian positif beberapa indikator-indikator utama ekonomi makro dan rakyat.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat pertama kali, jumlah perdagangan mencecah RM2 trillion selepas berkembang 24.6% bagi tempoh Januari hingga November 2021 berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

 

Katanya, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia turut meningkat sebanyak 3.0% dalam tempoh Sembilan bulan pertama 2021.

PM

 

Menurutnya, sebagai indikator kepada kerancakan ekonomi di peringkat kepenggunaan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit juga merekodkan peningkatan sebanyak 5.4% kepada RM116.4 bilion pada Oktober 2021.

 

Beliau berkata, kadar pengangguran sudah mula beransur pulih kepada 4.3% pada Oktober 2021, berbanding kemuncak 5.3% pada Mei 2020. Angka terbaru ini juga lebih rendah daripada dua bulan sebelumnya.

 

''Angka pelaburan sering menjadi antara petunjuk popular keyakinan komuniti perniagaan terhadap keutuhan ekonomi sesebuah negara.

 

''Di sini, Malaysia mencatatkan perkembangan positif RM12.8 bilion pelaburan langsung asing (FDI) bersih pada suku ketiga 2021 berbanding RM8.2 bilion pada suku kedua, iaitu peningkatan sebanyak 56%. 23.
 

PM


''Ini menjadikan jumlah FDI bersih bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sebanyak lebih RM30 bilion,'' kata beliau dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2022 di sini malam ini..

 

Perdana Menteri berkata, beliau juga yakin, dengan momentum pertumbuhan ekonomi negara dijangka berterusan pada tahun 2022 dengan kadar pertumbuhan KDNK yang diunjurkan berkembang antara 5.5% hingga 6.5%, seiring dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 6% dan Bank Dunia pada 5.8%. - DagangNews.com