Usaha pemulihan pasaran buruh perlu jadi perhatian dalam pembentangan semula Bajet 2023 selepas PRU15 | DagangNews Skip to main content

Usaha pemulihan pasaran buruh perlu jadi perhatian dalam pembentangan semula Bajet 2023 selepas PRU15

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Nov - Pasaran buruh di Malaysia dijangka terus kukuh pada suku keempat 2022 berikutan momentum yang memberangsangkan dalam ekonomi domestik dan pengembangan yang stabil dalam sektor luaran. 

 

Ini mendorong MIDF Research mengunjurkan kadar pengangguran yang lebih rendah tahun ini pada 3.8% berbanding 4.5% pada 2021 disokong pembukaan semula ekonomi domestik dan asas ekonomi yang kukuh.

 

Bagaimanapun, firma itu mendapati kadar tersebut masih lagi tinggi berbanding paras sebelum pandemik pada 3.4%. 

 

Pertumbuhan guna tenaga diramalkan pada 2.5% manakala pengangguran menyusut sebanyak -15% tahun ini. Dalam tempoh sembilan bulan pertama, kadar pengangguran purata pada 3.9% manakala pertumbuhan guna tenaga pada 3.6% tahun ke tahun dan pengangguran turun sebanyak -15.2%.

 

"Pada 2023, kami menjangkakan kadar pengangguran Malaysia akan terus merosot pada purata 3.5% berikutan ekonomi domestik yang bertambah baik.

 

"Malah, ia juga didorong peningkatan dalam aktiviti berkaitan pelancongan dan kapasiti pengeluaran yang lebih tinggi dalam sektor utama apabila harga komoditi terus meningkat," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Baca : Kadar pengangguran Malaysia catat penurunan kepada 3.6% pada September 2022

 

Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan menunjukkan kadar pengangguran di Malaysia terus menunjukkan trend penurunan kepada 3.6% pada September 2022, menurun 0.1% berbanding 3.7% pada Ogos 2022.

 

Bilangan penganggur juga semakin berkurangan dengan menunjukkan trend penurunan selama 14 bulan berturut-turut kepada 605,000 orang pada September berbanding 612,000 orang pada bulan sebelumnya.

 

Bagi suku ketiga 2022, kadar pengangguran menurun kepada 3.7%, mencatatkan 611,800 orang,
kadar terendah sejak pandemik COVID-19 pada suku kedua 2020.

 

Sementara itu, UOB Global Economics & Markets Research mengekalkan unjuran kadar pengangguran tahun ini pada 3.8% manakala 3.3% pada 2023 dengan mengambil kira pertumbuhan ekonomi akan terus mengukuh tetapi pada kadar sederhana pada tahun hadapan. 

 

Menurutnya, sokongan kerajaan secara berterusan adalah penting untuk mengekalkan pemulihan dalam pasaran buruh, terutama apabila kebanyakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menyumbang 37.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan 47.8% daripada jumlah guna tenaga negara masih bergelut untuk mengekalkan perniagaan mereka selepas pandemik.

 

"Oleh itu, adalah penting untuk memerhatikan sebarang inisiatif tambahan berkaitan pekerjaan yang akan diperkenalkan apabila kerajaan baharu membentangkan semula belanjawan negara untuk 2023 selepas pilihan raya umum ke-15 berakhir.

 

"Dalam cadangan awal Bajet 2023 yang dibentangkan 7 Oktober lalu, Kerajaan Persekutuan ketika itu mengumumkan beberapa langkah berkaitan pekerjaan bernilai sekurang-kurangnya RM950 juta," jelasnya. - DagangNews.com