Usaha sama dengan Kia perluas portfolio Bermaz | DagangNews Skip to main content

Usaha sama dengan Kia perluas portfolio Bermaz

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 April - Jalinan kerjasama (JV) antara syarikat Bermaz Auto Berhad (Bermaz) dengan Kia Motors (Kia) dilihat dapat membantu meluaskan portfolio penawaran Bermaz menjangkaui segmen pertengahan hingga premium.

 

CGS-CIMB Research berkata, ia berikutan daripada penambahan pengedaran Peugeot di bawah 20% syarikat bersekutu Berjaya Auto Alliance (BAA) pada Disember 2020.

 

"Kami percaya Dinamikjaya Motors Sdn Bhd (DJMSB) akan menjadi pemacu kepada jumlah jualan yang lebih tinggi daripada BAA memandangkan pihak pengurusan menjangkakan akan menyaksikan jualan 2,000 dan 7,000 unit daripada model Kia pada tahun kewangan 2022 dan 2023.

 

"Di samping itu, kami juga melihat peluang yang menarik untuk perniagaan perkhidmatan selepas jualan memandangkan lebih 45,000 kenderaan Kia telah dijual di Malaysia sejak 10 tahun kebelakangan ini.

 

"Selain itu, dengan pegangan saham 29% Bermaz, Inokom juga turut mendapat keuntungan daripada jumlah pemasangan yang lebih tinggi memandangkan Kia Malaysia Sdn Bhd (KMSB) menjangkakan dapat memanfaatkan pengeluaran Inokom di Kulim," jelas CGS-CIMB Research.

 

Dalam pada itu, CGS-CIMB Research turut berpendapat bahawa Bermaz turut meraih manfaat daripada strategi kenderaan elektrik (EV) Kia kerana pihak Korea merancang untuk memperkenalkan 11 model EV menjelang 2027.

 

Dalam aspek usaha sama Bermaz dengan Kia, kedua-dua syarikat berkenaan bakal menubuhkan syarikat usaha sama baharu iaitu Kia Malaysia Sdn Bhd. (KMSB) untuk tujuan pengeluaran dan pemasangan kenderaan model pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia.

 

Melalui usaha sama tersebut, Bermaz dan Kia Motors Corp akan menguasai 33.3% dan 66.7% saham di KMSB dengan pelaburan awal masing-masing sebanyak RM20 dan RM40 juta.

 

Berdasarkan perjanjian kerjasama itu, KMSB diharap dapat mengeluarkan tiga model CKD iaitu Kia Seltos (B-Segmen SUV), Kia Carnival (MPV) dan satu lagi model akan ditentukan kemudian.

 

Mengulas perkara sama, MIDF Research berkata, program CKD tersebut dianggar mengambil masa sembilan hingga 10 bulan.

 

Susulan itu, pelancaran CKD perdana dijangka pada akhir tahun semasa 2021 atau awal 2022.

 

Jelas MIDF Research, model CKD ketiga yang bakal ditentukan kelak berkemungkinan akan dilancarkan pada akhir 2022. - DagangNews.com