Usaha sama OPen Road Asia-PKB bangunkan projek RM1.3 bilion | DagangNews Skip to main content

Usaha sama OPen Road Asia-PKB bangunkan projek RM1.3 bilion

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor (kiri) bersama Pengasas dan Penasihat Kumpulan OPen Road Asia, Datuk David Goh (kanan) ketika acara gimik simbolik jalinan kerjasama antara PKB dan OPen Road Asia di Wisma Darul Aman, hari ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor (kiri) bersama Pengasas dan Penasihat Kumpulan OPen Road Asia, Datuk David Goh (kanan) ketika acara gimik simbolik jalinan kerjasama antara PKB dan OPen Road Asia di Wisma Darul Aman, hari ini.
 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

ALOR SETAR 31 Mac - Syarikat peneraju peruncitan automotif, OPen Road Asia Sdn. Bhd. (OPen Road Asia) memeterai perjanjian usaha sama (JV) dengan Permodalan Kedah Berhad (PKB) untuk membangunkan Litar Antarabangsa OPen Road (ORIC) dan Resort Bersepadu (IR) di Bukit Malut, Langkawi.

 

Perjanjian usaha sama dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.3 bilion itu ditandatangani oleh Pengasas dan Penasihat Kumpulan OPen Road Asia, Datuk David Goh dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Abdul Rahman Din.

 

Majlis menandatangani kerjasama tersebut turut disaksikan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor.

 

Sesi menandatangani perjanjian usaha sama (JV) antara Pengasas dan Penasihat Kumpulan OPen Road Asia, Datuk David Goh (hadapan,kanan) bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Abdul Rahman Din (hadapan, kiri) sambil disaksikan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor(belakang, tengah) di Wisma Darul Aman, hari ini.
Sesi menandatangani perjanjian usaha sama (JV) antara Pengasas dan Penasihat Kumpulan OPen Road Asia, Datuk David Goh (hadapan,kanan) bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Abdul Rahman Din (hadapan, kiri) sambil disaksikan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor(belakang, tengah) di Wisma Darul Aman, hari ini.

 

Destinasi pelancongan perdana dan litar permotoran antarabangsa itu bakal dibangunkan di atas tanah berkeluasan 183 ekar mengadap Selat Melaka di Bukit Malut. 

 

Menariknya, selain litar sukan permotoran antarabangsa yang mendapat kelulusan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), projek berkenaan turut dilengkapi dengan resort bersepadu sepenuhnya.

 

Resort berkenaan mengandungi hartanah kediaman mewah, premis jualan barangan mewah, hotel bertaraf lima bintang, pusat pengedaran kereta 4S, gudang penyimpanan kenderaan mewah, stesen minyak, restoren bertaraf antarabangsa dan pelbagai tarikan pelancongan lain.

 

Mengulas berkaitan perjanjian tersebut, David berkata, projek bersepadu ORIC itu dijangka menyediakan lonjakan ekonomi berimpak tinggi yang segera kepada Pulau Langkawi, Kedah serta Malaysia apabila ianya siap dalam tempoh lima tahun kelak.

 

"Adalah menjadi harapan kami agar projek ini mengkukuhkan dan menaikkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelancong di Asia.

 

"Litar lumba ini direka mengikut topografi sebenar Bukit Malut serta bakal menampilkan beberapa rekod dan ciri baharu dalam aspek reka bentuk litar termasuk litar lurus yang terpanjang di dunia selain selekoh dan lengkungan yang mencabar dan penurunan bukit yang curam.

 

"Diilhamkan daripada litar Nurburgring di Jerman, saya turut menyifatkan litar lumba sepanjang 5.8km itu sebagai 'Nurburgring di Timur'," katanya ketika berucap dalam majlis menandatangani perjanjian usaha sama (JV) antara PKB dan OPen Road Asia di Wisma Darul Aman, hari ini.

 

Litar Antarabangsa OPen Road (ORIC) dan Resort Bersepadu (IR) di Bukit Malut, Langkawi.
Litar Antarabangsa OPen Road (ORIC) dan Resort Bersepadu (IR) yang bakal dibangunkan di Bukit Malut, Langkawi.

 

 

Katanya lagi, litar lumba bertaraf dunia itu pastinya meletakkan Langkawi sebagai tarikan baharu dan destinasi pilihan peminat sukan permotoran di Asia apabila disiapkan menjelang suku kedua 2023 nanti.

 

Litar berkenaan akan berfungsi sebagai platform bagi menggalakkan penyelidikan dan pembangunan automotif, pusat ujian dan destinasi perlumbaan bagi pengeluar automotif utama dunia dan pasukan lumba kereta terkemuka dari seluruh dunia.

 

Ujar beliau, litar bertaraf antarabangsa itu secara rasminya akan diberi penarafan Litar Gred Dua oleh FIA.

 

Litar Antarabangsa OPen Road (ORIC)
Litar Antarabangsa OPen Road (ORIC) yang bakal di bangunkan di Bukit Malut, Langkawi.

 

Perbincangan awal bersama firma perundingan juga telah menetapkan kos pembinaan litar berkenaan berjumlah RM180 juta.

 

Mengulas berkaitan dengan pembangunan komponen kediaman pegangan bebas seluas 46 ekar dalam projek berkenaan, beliau memberitahu, hartanah mewah tersebut merangkumi villa, villa berserta kolam air, villa Semi-D dan unit kondominium pelbagai saiz bermula 1,000 kaki persegi hingga 10,000 kaki persegi super villa.

 

"Unit-unit kediaman dengan peluang pelaburan istimewa itu bukan sahaja dapat menarik minat rakyat Malaysia, malah orang asing yang ingin memiliki aset di pulau indah ini.

 

"Kita sudah ada satu rakan kongsi yang akan bertindak sebagai pemaju kepada hartanah di Bukit Malut ini," jelas beliau lagi. - DagangNews.com