IPOH 1 Ogos - Jualan sebanyak RM1 juta berjaya dicatatkan usahawan negeri Perak sepanjang empat hari penyertaan mereka pada jualan Malaysia Fest di Singapura.
Seramai 15 usahawan Perak terlibat dalam program jualan tahunan ini yang berlangsung di Singapore Expo Convention & Exhibition Centre, Changi.
Daripada jumlah itu, jualan tunai yang dicatatkan di pavilion negeri Perak sahaja adalah kira-kira RM424,000.
Lapan usahawan dibawa kerajaan negeri Perak melalui Sekretariat Usahawan Negeri Perak (Step), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) neger, MARA negeri dan Unit Perancangan Ekonomi Perak.
Enam usahawan lain pula menyertai program ini di bawah Pavilion Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) manakala satu usahawan dibawa Ibu Pejabat FAMA.
Delegasi kerajaan negeri Perak ini diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed.
Kehadiran pengunjung yang mencecah 150,000 orang menyebabkan kebanyakkan usahawan kehabisan stok produk.
Antara produk usahawan Perak yang mendapat perhatian dan permintaan tinggi dari warga Singapura adalah pekasam, pes tomyam, rempeyek dan produk hasil laut.
Pavilion Perak yang direka dan dihasilkan oleh FAMA negeri Perak juga menjadi perhatian pengunjung di program ini.
Pada program sama, tiga perjanjian persefahaman berjaya ditandatangani tiga syarikat usahasama Perak bersama rakan niaga masing-masing dengan nilai kontrak RM17.40 juta.
Tiga syarikat tersebut ialah Imperia Asia Sdn. Bhd., Sidratul Sdn. Bhd. dan Syilis Sdn Bhd.
Sementara itu, Pengarah STep, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli berkata, program Malaysia Fest 2023 dapat memperluaskan pasaran produk usahawan tempatan ke seberang tambak selain membina jaringan perniagaan.
"Tahniah kepada semua usahawan terlibat juga kepada semua agensi negeri dan persekutuan yang telah bersama-sama berganding bahu membantu bimbing usahawan perak terlibat .
"Semoga lebih ramai usahawan Perak akan berjaya menembusi pasaran Singapura dan global pada masa akan datang," ujarnya. - DagangNews.com