SLIM RIVER 21 Julai - Bergelar usahawan tani bukan satu perkara mudah, apatah lagi jika tiba-tiba berhadapan dengan situasi luar jangkaan seperti yang dihadapi Cheah Wee Ming, 65.
Dia hampir menutup kebun yang diusahakan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) SKC Slim sejak 15 tahun lalu itu apabila jualan hasil pertanian jatuh merudum berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19. Hasil jualannya tidak terjual selain faktor luaran seperti cuaca dan serangan penyakit.
Dengan kerugian lebih RM70,000 semasa PKP, Wee Ming enggan mengalah sebaliknya bertekad meneruskan usaha bertani demi kelangsungan hidup bersama keluarga.
Menurut anak jati Sungkai ini, semasa PKP bermula Mac 2020, lebih 70 peratus tanaman jambu batu dan nangka madu di kebunnya terpaksa dibuang.
“Memang sedih kerana daripada 20 ekar kawasan jambu batu yang saya usahakan hanya enam ekar sahaja boleh dijual.
"Begitu juga tanaman nangka madu apabila hanya 10 ekar daripada 30 ekar dijual. Lebih dua bulan saya terpaksa bertahan," ujarnya kepada DagangNews.com.
Bagaimana pun, dia bersyukur kerana Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) membantu khususnya dalam memberikan pengurangan kadar sewa tanah.
"Pengurangan sewa sebanyak 30 peratus sepanjang tahun 2020 itu benar-benar membantu keadaan saya yang berdepan kesukaran.
“Perak SADC sangat membantu pada waktu itu. Sekurang-kurangnya saya dapat bertahan dan hasilnya adalah apa yang ada hari ini.
“Keprihatinan Perak SADC ini juga menyuntik semangat untuk saya meneruskan lagi usaha memajukan kebun tanaman jambu batu dan nangka madu ini,” katanya.
Ketika ini hasil pengeluaran di kebunnya sangat baik dengan jambu batu boleh mencecah sehingga 80 tan dalam masa enam bulan manakala nangka madu sekitar 180 tan untuk tempoh masa empat bulan.
“Pendapatan pula sekitar RM7,000 hingga RM8,000 sebulan bergantung pada harga dan kualiti buah,” katanya.
Semua hasil tanamannya dijual kepada para peraih dengan pasaran utama adalah di sekitar Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Kata Wee Ming, dia akan terus mengusahakan kebun berkenaan selagi termampu kerana itu merupakan kerjaya yang sudah sebati dengan kehidupannya sebagai usahawan tani. - DagangNews.com