Utamakan vaksinasi petugas barisan hadapan hospitaliti | DagangNews Skip to main content

Utamakan vaksinasi petugas barisan hadapan hospitaliti

Petugas hotel

Oleh TAN MING LUK,
Naib Presiden & Ketua OYO Malaysia & Singapura 

 

 

KUALA LUMPUR 2 Feb. - Pandemik COVID-19 terus memusnahkan industri hospitaliti di seluruh dunia dengan cara yang belum pernah kita saksikan sebelum ini. 

 

Di Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) baru-baru ini menganggarkan kerugian RM100 bilion pada 2020 ,sementara sektor perhotelan pula sebelum ini menganggarkan kerugian kira-kira RM6.4 bilion dengan jumlah penginapan bilik di bawah 40%. 

 

Beratus hotel telah gulung tikar sehingga mengakibatkan ribuan kakitangan kehilangan pekerjaan semenjak PKP pertama diumumkan pada Mac 2020. 

 

Banyak lagi hotel yang terpaksa menghentikan operasi untuk jangka masa yang tidak ditetapkan, dan lebih banyak lagi terpaksa berbuat demikian semasa dan selepas PKP 2.0. 

 

Selain hotel, semua perniagaan lain yang berkait rapat dengan sektor pelancongan juga terpaksa menanggung akibat daripada penularan COVID-19. 

 

Menurut Akaun Satelit Pelancongan 2019 , dianggarkan 3.6 juta pekerjaan adalah berkait rapat dengan sektor pelancongan seperti penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan penumpang, agensi pelancongan, aktiviti riadah, jualan runcit bahan api kenderaan dan peruncitan. 

 

Jika dilihat kepada anggaran konservatif bahawa 30% pekerjaan di dalam sektor tersebut adalah berisiko, ini bermakna kira-kira 1.1 juta pekerjaan akan menerima kesan buruknya. 

 

Apa yang lebih membimbangkan ialah angka tersebut dijangka akan terus meningkat dalam beberapa hari serta minggu yang akan datang ketika para pemain sektor pelancongan berdepan dengan impak PKP 2.0. 

 

Tan Ming Luk
Tan Ming Luk

 

Namun begitu, kami berasa lega apabila mendengar bahawa PKP 2.0 mungkin akan berakhir pada 4 Februari 2021, setelah Ketua Pengarah Kesihatan sendiri turut sama mengakui kesan buruknya ke atas ekonomi.

 

Di sebalik kemerosotan aktiviti pelancongan, industri hospitaliti tetap bergiat aktif semasa pandemik ini.

 

Kami sentiasa menyokong komuniti di Malaysia, menyediakan tempat rehat yang sangat diperlukan kepada para petugas barisan hadapan seperti kakitangan hospital, jururawat dan pasukan bantuan kecemasan, serta menyediakan rumah sementara untuk mereka yang tinggal jauh dari tempat kerja, terutama sekali mereka yang bergantung kepada pengangkutan awam yang telah dikurangkan tempoh perkhidmatannya semasa PKP 2.0.

 

Terperangkap di dalam kitaran tahap kawalan pergerakan yang silih berganti, rakyat Malaysia mula menarik nafas lega susulan berita mengenai program vaksinasi yang bakal dijalankan. 

 

OYO sememangnya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteris baru-baru ini bahawa hampir 27 juta atau lebih 80% penduduk Malaysia dijangka akan menerima vaksin Covid-19 menjelang suku pertama 2022, namun sektor hospitaliti khuatir bahawa para petugas barisan kami akan menjadi antara yang terakhir menerima vaksin berkenaan.

 

Realitinya, sektor ini tidak mampu untuk terus bertahan jika keadaan sama berulang setahun lagi. Untuk memastikan kelangsungan dan kemapanan industri hospitaliti di Malaysia, OYO mengambil pendirian bahawa para petugas barisan hadapan hospitaliti patut diberi keutamaan untuk vaksinasi Covid-19, selepas barisan hadapan perubatan, warga emas dan kumpulan berisiko tinggi yang lain. 

 

Memandangkan bekalan awal vaksin adalah terhad, kebolehdapatan untuk para petugas barisan hadapan di dalam sektor penting termasuk hospitaliti adalah kritikal bagi memastikan ekonomi terus berjalan dan komuniti terus berfungsi, dengan melindungi kakitangan dan mengurangkan kemungkinan tercetusnya kluster yang memudaratkan dari tempat kerja.

 

Sedang para penggubal dasar menumpukan perhatian mereka ke arah apa yang kita harapkan sebagai penghujung kepada masalah kesihatan awam ini dan memuktamadkan pelan peruntukan dan pengagihan vaksin berkenaan, ianya adalah sesuatu yang melegakan apabila melihat Kerajaan memberi perhatian terhadap keperluan vaksinasi para pekerja, sebagai sebahagian daripada strategi negara bagi mngekang penularan pandemik di dalam sempadan negara kita . 

 

Atas semangat itu, kami menggesa Putrajaya agar mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh para petugas barisan hadapan industri hospitaliti.

 

Namun demikian, kami turut mengiktiraf pandangan masyarakat keseluruhannya seperti mana yang ditunjukkan oleh para pemain sektor swasta dalam usaha mencari jalan terbaru bagi meredakan cabaran akibat ancaman kesihatan  ini dan sedia untuk bekerjasama dengan sektor-sektor lain bagi memastikan kakitangan hospitaliti menerima vaksinasi secara berkesan seberapa segera yang mungkin. 

 

OYO kekal komited untuk menjadi sumber penting dan melaksanakan tanggungjawab kami demi komuniti di Malaysia. Bersama-sama, kita boleh menamatkan krisis kesihatan awam ini dengan cepat dan memulakan usaha pemulihan industri hospitaliti. 

 

Apabila mereka yang terlibat dengan industri hospitaliti dilindungi, ia akan memberi mesej yang kuat kepada dunia bahawa Malaysia adalah selamat dan negara boleh dibuka untuk perniagaan. - DagangNews.com

 

.