Uzma terima kontrak penyediaan Perkhidmatan Unit Pekerjaan Hidraulik daripada PTTEP Sarawak | DagangNews Skip to main content

Uzma terima kontrak penyediaan Perkhidmatan Unit Pekerjaan Hidraulik daripada PTTEP Sarawak

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Uzma Bhd menerusi Uzma Engineering Sdn Bhd menerima kontrak daripada PTTEP Sarawak Oil Ltd (PTTEP) bagi penyediaan perkhidmatan Unit Pekerjaan Hidraulik (HWU) dan perkhidmatan berkaitan.

  

Kumpulan itu menerusi Uzma Engineering Sdn Bhd menerima surat anugerah bertarikh 4 Julai 2024 dan kemudiannya diluluskan pada 5 Ogos 2024. 

 

Katanya, skop kerja kontrak itu terdiri daripada penyediaan peralatan dan perkhidmatan HWU bagi kempen workover PTTEP di dua platform di luar pesisir Malaysia Timur.

 

"Kontrak itu akan berkuat kuasa pada 4 Julai 2024, dan kekal sah sehingga enam telaga mereka siap. 

 

"Bagaimanapun ia tertakluk kepada situasi semasa sama ada dilanjutkan atau ditamatkan lebih awal mengikut terma dan syaratnya," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Uzma menjangkakan kontrak itu akan menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 dan seterusnya sehingga tamat kontrak.

 

Katanya, faktor risiko yang berpotensi termasuk risiko operasi dan pelaksanaan projek, jadual kerja, garis masa penghantaran dan keadaan cuaca buruk. - DagangNews.com