Vaksin COVID-19, pemulihan ekonomi ambil kira banyak faktor - CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Vaksin COVID-19, pemulihan ekonomi ambil kira banyak faktor - CGS-CIMB

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]


KUALA LUMPUR 20 Nov. - Pendedahan Pfizer hampir 2 minggu lalu, diikuti Moderna mengenai vaksin COVID-19 yang sedang dibangunkannya, mencetus gelombang baharu dalam keyakinan pasaran terhadap pemulihan ekonomi global. 

 

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), ketika ini terdapat 47 calon vaksin yang berada di peringkat penilaian klinikal, dengan 11 daripadanya di peringkat fasa 3 percubaan. 

 

Perkembangan vaksin ini juga memberi impak positif kepada Malaysia yang mana kerajaan ketika ini berada di peringkat akhir dalam rundingan dengan COVID-19 Global Vaccine Access (Covax) Facility. 

 

Harga siling yang ditetapkan bagi tawaran vaksin ini lah AS$21 (RM87.50) setiap dos.

 

"Perkembangan ini adalah sesutau yang positif pada ketika negara juga berdepan ketidaktentuan politik dan kebimbangan terhadap hasil korporat yang lemah pada suku keempat 2020. 

 

"Ini berikutan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di 9 daripada 13 negeri (sehingga 6 Disember) disebabkan jangkitan COVID-19 semakin meningkat," jelas CGS CIMB dalam nota kajian mengenai rantau Asia Pasifik hari ini. 

 

Dengan mengambil kira senario semasa, firma penyelidikan itu menjangkakan pemulihan secara beransur-ansur dalam aktiviti ekonomi apabila vaksinasi dan imuniti membolehkan penjarakan sosial dikurangkan di peringkat domestik sebelum koridor kawalan perjalanan dilaksanakan dan pembukaan semula sempadan pada 2022. 

 

"Dalam hal ini kami menjangkakan Indonesia mempunyai lebih banyak pendedahan kepada permintaan domestik berbanding rakan serantau yang lain dengan pertumbuhan ekonomi diunjur pada 5.4% pada 2021 berbanding -2.0, 2020. 

 

"Bagaimanapun, Thailand akan ketinggalan ke belakang dalam pemulihan ekonomi memandangkan ia bergantung kepada kedatangan pelancong yang menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 15% berbanding Malaysia (8%), Singapura (5%) dan Indonesia (2%)," katanya. 

 

Menurut CGS-CIMB, dalam nota kajiannya bertarikh 28 Julai lalu, firma itu telah menasihati para pelabur untuk melihat strategi yang mengerakkan pemulihan daripada pandemik itu di Malaysia memandangkan penilaian sektor kembali menarik selepas membuat pembetulan. 

 

"Di dalam nota ini juga, kami telah menekankan bahawa tempoh peralihan kepada pemulihan adalah sukar tetapi kami menjangkakan pada akhir tahun ini memandangkan kedudukan pelabur kini menuju ke arah pemulihan pendapatan dan ekonomi pada 2021 berbanding penemuan vaksin," jelasnya. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, proses untuk untuk mendapatkan itu kemungkinan akan lebih huru-hara memandangkan ia melibatkan pelbagai organisasi dalam pelbagai peringkat. 

 

"Dengan populasi penduduk dunia 7.5 bilion, dunia memerlukan lebih daripada dos sedia ada. Tugas vaksinasi ini akan beralih kepada vaksin lain yang lebih maju di peringkat pembangunan," katanya. 

 

Sebelum ini dilaporkan, Pfizer akan mengeluarkan 50 juta dos vaksin tahun ini dan 1.3 bilion pada 2021. Dengan setiap individu memerlukan dua dos, pengeluaran ini dapat memenuhi keperluan 650 juta orang. 

 

Moderna pula akan mengeluarkan 20 juta dos sahaja tahun ini manakala anatara 500 juta hingga 1 bilion dos pada akhir 2021.   

 

Pengeluaran vaksin kedua-dua firma ini cukup untuk melindungi 1.3 bilion penduduk di negara-negara membangun menjelang akhir 2021. - DagangNews.com