KUALA LUMPUR 26 Dis - Pelabur disaran untuk memerhati saham Petronas Chemicals Group Bhd (PetChem) menjelang pemulihan industri, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu menjangkakan potensi aliran naik dalam industri itu memandangkan harga kukuh produk utamanya poliolefin pada 2025 akan berada dalam tahun ketiga sepanjang kitaran tiga hingga empat tahun.
"Sektor ini sangat sensitif kepada arah aliran makroekonomi dan dinamik penawaran dan permintaan.
"Kami menjangkakan prospek bahagian olefin dan derivatif PetChem akan menambahbaik dan menaikkan saranan kepada "outperform" daripada "market perform" dengan harga sasaran (TP) yang lebih tinggi sebanyak RM5.47," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Saham Petronas Chemicals merosot kira-kira 32% tahun ini, pada masa industri petrokimia bergelut dengan penyusutan margin penapisan.
Ringgit pula menambah nilai mendadak berbanding dolar Amerika Syarikat sebelum menyusut pada awal Oktober, mengakibatkan kerugian pertukaran mata wang asing (forex) yang besar.
Saranan "jual" untuk PetChem masih melebihi jumlah cadangan "beli" berikutan semakan semula Kenanga. Menurut Bloomberg, TP 12 bulan konsensus kini pada RM4.98 sesaham.
Kenanga berkata, ledakan dan kemerosotan yang berulang dalam industri, dengan harga setiap tan mencecah sekitar AS$700 (RM3,130) semasa kemelesetan Covid-19 pada 2019 sehingga 2020 sebelum memuncak pada AS$1,380 pada 2021.
"Menjelang 2025, kami mengunjurkan harga purata "konservatif" pada AS$1,150 setiap tan.
"Selanjutnya, indeks pengurus pembelian (PMI) ISM AS telah berada dalam aliran menurun sejak 2022, secara konsisten kekal di bawah paras 50 mata pada 2023 dan 2024, menunjukkan penguncupan yang berpanjangan dalam aktiviti perindustrian.
"Aliran PMI yang positif telah bergerak seiring dengan peningkatan tahun ke tahun dalam harga poliolefin, dan kami percaya pelabur harus melihat potensi titik infleksi pada 2025," kata Kenanga.- DagangNews.com