Vaksin COVID-19 suntik keyakinan dalam pasaran | DagangNews Skip to main content

Vaksin COVID-19 suntik keyakinan dalam pasaran

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Pasaran tempatan petang ini ditutup tinggi, melonjak 10.49 mata kepada 1,610.15 mata. 

 

Indeks FBM KLCI itu yang naik 0.66% bergerak dalam jajaran 1,593.02 hingga 1,613.34 mata dengan 16.4 bilion saham diniagakan bernilai RM7.96 bilion. 

 

Ia menyaksikan kaunter rugi hampir menyamai untung pada 655 berbanding 648 manakala 445 kaunter tidak berubah. 

 

Pada 9.15 pagi, indeks itu meningkat 0.02 mata kepada 1,599.68 selepas dibuka 0.04 mata lebih rendah pada 1,599.62 mata.

 

Bursa Malaysia hari ini mencatatkan peningkatan memandangkan pelabur tetap optimis terhadap pemulihan ekonomi global susulan perkembangan positif mengenai vaksin COVID-19. 

 

Ini juga mendorong ringgit ditutup lebih tinggi, pada RM4.1020/1060 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), daripada penutupan semalam, RM4.1140/1190. 

 

Menurut Reuters, sentimen pelabur meningkat selepas Moderna Inc. dilaporkan berkata eksperimen vaksin COVID-19 berkesan sehingga 94.5% untuk mencegah wabak itu berdasarkan data akhir sementara. 

 

Secara global, pasaran saham Asia melonjak dengan berhati-hati ke tahap positif yang positif hari ini dan harga minyak juga diniagakan tinggi selepas penanda aras AS meningkat disebabkan perkembangan terkini vaksin tersebut. 

 

Moderna, adalah firma kedua selepas Pfizer Inc mengumumkan data uji kajinya minggu lalu dalam usaha mengekang pandemik COVID-19. 

 

Malah, perkembangan vaksin ini juga satu petanda baik kepada industri terutama sektor penerbangan yang terjejas teruk akibat langkah sekatan yang dilaksanakan kerajaan di seluruh dunia. 

 

Ahli pengurusan di Great Hill Capital, New York berkata, apa yang berlaku ketika ini adalah kesinambungan dari minggu lepas apabila vaksin COVID-19 menjadi pemangkin dalam kitaran sektor seperti tenaga, kewangan dan pertahanan dengan jangkaan ia dapat membantu memulihkan permintaan dan perjalanan.  

 

Sementara itu, menurut nota kajian TA Securities Holdings Bhd., pasaran melonjak hari ini setelah menerima kesan daripada pasaran global di tengah-tengah laporan mengenai vaksin dan keyakinan pemulihan ekonomi. 

 

"Tetapi, pengambilan keuntungan akan meningkat dalam tempoh sederhana dan ketidaktentuan akan terus meningkat meningkat memandangkan berlaku situasi pembelian berlebihan," katanya. - DagangNews.com