Vaksin : Malaysia di landasan pemulihan - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Vaksin : Malaysia di landasan pemulihan - Tengku Zafrul

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Rancangan pemulihan ekonomi negara berada di landasan yang tepat susulan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula hari ini. 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemulihan ekonomi tentunya akan menyusul bersama dengan pemulihan kesihatan awam. 

 

Tambahan pula, katanya, Bank Dunia telah mengumumkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 5.6 hingga 6.7% bagi 2021 berikutan pelancaran program vaksinasi COVID-19 secara global. 

 

Ini sejajar dengan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia pada kadar 4%, katanya. 

 

Sehubungan itu, menurutnya, banyak sektor ekonomi yang menanti pembukaan sempadan bukan sahaja dalam negara malah ke luar negara seperti sektor pelancongan dan peruncitan. 

 

"Bagi mereka dari sektor pelancongan, manfaatkanlah peruntukan Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana sebanyak RM1 bilion bagi PKS dan PKS mikro yang masih terkesan dengan COVID-19," katanya. 

 

Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-42 hari ini.

 

Minggu lalu, menyaksikan pelbagai detik bersejarah bagi negara dengan ketibaan kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 ke tanah air. 

 

Ketibaan ini menandakan bermulanya Fasa 1 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di mana 500,000 petugas barisan hadapan akan divaksinasi menjelang April tahun ini. 

 

Kerajaan juga menyasarkan 80% atau 27 juta penduduk Malaysia akan divaksinasi menjelang suku pertama 2022 bagi mencapai imuniti kelompok.

 

Menurut Tengku Zafrul, cabaran ketika ini ialah untuk bangkit semula dan kerana itulah inisiatif MyDigital dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat tepat pada masanya.

 

MyDigital merupakan suatu pelan hala tuju transformasi digital yang mampu mengupayakan sektor perniagaan untuk bersaing di pentas global dengan memantapkan kelancaran dan kecekapan operasi mereka. 

 

Pelan ini juga menyasarkan untuk membuka 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital. 

 

"Dalam usaha kita melonjakkan status ekonomi negara, ekonomi digital memainkan peranan besar di mana menjelang 2025, ekonomi digital dijangka akan menyumbang 22.6% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. 

 

"Inisiatif ini juga bakal menjadi titik tolak untuk menarik pelaburan baharu dalam sektor digital sebanyak RM70 bilion dari dalam dan luar negara," katanya.

 

Selain 2 inisiatif baharu yang diperkenalkan kerajaan, Tengku Zafrul turut memberitahu, Belanjawan 2021 turut memberi penekanan kepada industri digital.

 

Antara inisiatif itu, katanya, adalah sokongan penggunaan teknikal dan digital bagi PKS serta syarikat peringkat pertengahan (MTC) dengan setakat ini, sebanyak RM40.5 juta telah disalurkan kepada 8,580 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi.

 

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM500 juta bagi tahun 2021 untuk melaksanakan inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) bertujuan memastikan kesalinghubungan sejumlah 430 sekolah seluruh negara.

 

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah memperuntukkan RM7.4 bilion tahun ini dan 2022 bagi memperluas perkhidmatan jalur lebar seluruh negara.

 

“Kerajaan juga menyalurkan RM150 juta bagi kempen e-Dagang PKS dan PKS mikro yang merangkumi program latihan, bantuan penjualan dan peralatan digital kepada 100,000 usahawan tempatan,” jelasnya. - DagangNews.com