Vaksin ‘percubaan’ COVID-19 dijangka siap 6 bulan lagi? | DagangNews Skip to main content

Vaksin ‘percubaan’ COVID-19 dijangka siap 6 bulan lagi?

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Duopharma Biotech Berhad (Duopharma) yang terpilih sebagai salah satu syarikat untuk mengisi dan membotolkan vaksin COVID-19 tidak menafikan vaksin percubaan (candidate vaccine) virus itu dapat siap dalam tempoh enam bulan lagi.

Tetapi, keberkesanan vaksin percubaan itu masih menjadi persoalan memandangkan COVID-19 mempunyai mutasi yang pelbagai, memetik laporan theedgemarkets.com hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira sebelum menentukan tempoh masa vaksin COVID-19 dijangka siap. 

Duopharma juga telah menetapkan barisan petugas khas bagi vaksin manusia yang belum digunakan dan tidak memerlukan kos pelaburan tinggi atau penambahbaikan bagi persediaan proses berkenaan. 

 

Leonard
Leonard Ariff Abdul Shatar

 

“Bagi kami, tiada apa yang perlu dilakukan (lagi) kerana barisan Duopharma telah bersedia. Barisan ini cukup dengan kapasiti 12 juta bebuli (vial). 

“Kelak, apabila vaksin berjaya ditemui, kami perlu menentukan kadar dos yang digunakan, katakanlah satu bebuli bersamaan 10 pesakit, jadi 12 juta bebuli boleh digunakan untuk 12 juta penduduk,” jelas beliau seperti dilaporkan theedgemarkets.com.

Selain Duopharma, kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut melantik Pharmaniaga Berhad untuk mengendalikan proses pengisian dan pembotolan vaksin COVID-19. 

Dalam pada itu, tambah Leonard Ariff, pakar kesihatan di Amerika Syarikat (AS) turut memberi gambaran bahawa dua atau lebih suntikan vaksin percubaan diperlukan bagi menangani mutasi berbeza.

Jelasnya, vaksin yang ditemui perlu dicuba ke atas manusia di tempat ia dibangunkan sama ada di AS, China atau lain-lain. Negara-negara lain pula boleh membuat pilihan sama ada untuk membeli pakej vaksin menyeluruh atau tertumpu kepada pakej mereka sahaja. 

Leonard Ariff berkata, Malaysia terbuka kepada kedua-dua pilihan tersebut, bagaimanapun pilihan untuk menyelesaikan proses mengisi sendiri adalah lebih cepat. - DagangNews.com