Vaksinasi di Perak dijangka selesai November, capai imuniti kelompok Oktober ini | DagangNews Skip to main content

Vaksinasi di Perak dijangka selesai November, capai imuniti kelompok Oktober ini

Pusat Pemberian Vaksin di Hospital Columbia Asia Taiping.

 

 

IPOH 26 Ogos – Perak dijangka mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober, seiring dengan pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini dan keseluruhan proses vaksinasi pula dijangka diselesaikan pada November ini.

 

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, bagi mempergiatkan lagi Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan, kerajaan negeri bakal memuktamadkan cadangan untuk menambah 12 lagi PPV dan meningkatkan tiga PPV sedia ada.

 

Menurut beliau, bagi mempercepatkan proses vaksinasi kepada kawasan berkepadatan tinggi pula, PPV awam sedia ada dinaik taraf untuk kapasiti harian lebih tinggi, di samping mewujudkan kaedah pemberian vaksin secara pandu lalu dan program jangkauan komuniti atau 'mobile outreach'.

 

"Bagi kawasan pedalaman pula, pemberian vaksin dilakukan secara jangkauan komuniti melalui 'outreachPerak' dengan sasaran komuniti atau penduduk di kawasan FELDA, FELCRA dan komuniti Orang Asli.

 

"Ia dijalankan oleh pasukan PPV bergerak yang membabitkan kakitangan Jabatan Kesihatan dibantu jabatan lain yang berkenaan," katanya menjawab soalan Yahaya Mat Nor (PH-Pasir Panjang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.

 

Sehingga 24 Ogos lalu, terdapat 22 PPV awam, enam PPV pandu lalu, 14 kumpulan PPV bergerak, lapan PPV khas (sPPV), satu PPV integrasi (awam dan swasta), satu PPV pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan satu PPV institut pengajian tinggi (IPT).

 

Selain itu, terdapat 15 PPV Hospital Swasta (PPVHS), 150 PPV Pengamal Perubatan (PPV GP) dan lapan PPV PICK Awam-Swasta (PIKAS) di bawah kelolaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Pengangkutan (MOT).

 

"Kapasiti suntikan harian adalah antara 40,000 hingga 45,000 sehari. Rekod menunjukkan pencapaian tertinggi pemberian vaksin di Perak adalah sebanyak 39,998 sehari pada 25 Ogos 2021," katanya. – DagangNews.com