Valyou terajui perniagaan prabayar MVNO untuk Merchantrade | DagangNews Skip to main content

Valyou terajui perniagaan prabayar MVNO untuk Merchantrade

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mac -  Penyedia perniagaan perkhidmatan wang, Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade) mengumumkan bahawa syarikat itu akan memindahkan perkhidmatan pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO) kepada anak syarikat milik penuhnya, Valyou Sdn Bhd (Valyou), berkuat kuasa serta-merta.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K. Veeran berkata, pertumbuhan kekal menjadi keutamaan syarikat dan perubahan itu akan menyokong usaha untuk mencapai matlamat tersebut. 

 

“Valyou kini akan memacu perkhidmatan MVNO, strategi pertumbuhan dan prestasi kumpulan. Kami melihat manfaat yang sangat besar menerusi amalan korporat ini kerana ia menjajarkan fokus kami secara dalaman, daripada itu dapat membangunkan strategi holistik yang lebih baik merentasi rantaian nilai syarikat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pemindahan perkhidmatan MVNO ke Valyou akan mewujudkan dua syarikat tersendiri dengan ciri-ciri kawal selia dan perniagaan yang unik, menerajui industri masing-masing. 

 

Pemisahan itu akan meningkatkan fokus satu sama lain dan membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas bagi Merchantrade dan Valyou. 

 

Ia juga akan membolehkan fokus yang lebih besar untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, bertindak balas terhadap trend saluran dan dengan akauntabiliti yang jelas untuk penyampaian perkhidmatan. 

 

Oleh itu, kedua-dua Merchantrade dan Valyou akan berada pada kedudukan lebih baik untuk memanfaatkan kedudukan pasaran yang berbeza, keutamaan dan pemacu pertumbuhan untuk mencapai pertumbuhan menguntungkan yang mampan serta meningkatkan nilai pemegang saham.

 

 

merchantrade
Ramasamy K. Veeran

 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Valyou Sdn. Bhd., Ravi Vamathevan pula berkata, Valyou mempunyai kepakaran dan pengalaman yang diperlukan untuk meletakkan perniagaan itu pada landasan yang kukuh untuk pertumbuhan. 

 

"Valyou akan terus menjadi pemboleh digital yang kukuh, terutamanya kalangan segmen sasaran. Kami dapat mempercepatkan misi untuk membantu lebih ramai pelanggan menikmati ketersambungan yang lebih baik. 

 

"Di Valyou, aspirasi kami adalah untuk membezakan perniagaan menggunakan teknologi, titik data dan analitik untuk lebih memahami tingkah laku pelanggan dan menumpukan pada pembangunan produk untuk memenuhi keperluan khusus mereka,” katanya.

 

 

merchantrade
Ravi Vamathevan

 

 

Pek helloSim baharu akan terus dijual melalui cawangan Merchantrade dan liputan titik sentuh komprehensif di kawasan yang mempunyai penduduk warga asing.

 

Valyou menyasarkan untuk bekerjasama rapat dengan rakan kongsi tempatan dan antarabangsa bagi memastikan ia menawarkan produk serta perkhidmatan terbaik kepada pasaran sasarannya dan mengembangkan portfolionya dengan penambahan produk baharu. - DagangNews.com